Sidang media berkaitan sindiket pengedaran dadah bernilai RM3.2 juta dan cubaan membawa keluar matawang lebih RM600,000 di Sepang. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Sidang media berkaitan sindiket pengedaran dadah bernilai RM3.2 juta dan cubaan membawa keluar matawang lebih RM600,000 di Sepang. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas wang tunai lebih RM600,000 yang cuba dibawa keluar lelaki warga asing tanpa ikrar di balai pelepasan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, 13 Jun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, penumpang yang hendak menaiki pesawat ke sebuah negara di Timur Tengah itu ditahan Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah dengan kerjasama pasukan Aviation Security (Avsec).

Menurutnya, pengembara berusia lingkungan 60-an itu ditahan susulan pemeriksaan pada bagasi dibawanya.

"Pemeriksaan rapi menemui mata wang ringgit berjumlah RM572,563 dan SG$24,500 (kira-kira RM85,158).

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sumber wang tunai milik lelaki dipercayai pengarah sebuah syarikat di luar negara itu," katanya pada sidang media di Pejabat Perkastaman Kargo KLIA di sini, hari ini.

Norlela berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA) 2001 kerana lelaki itu tidak membuat pengikraran ke atas amaun tunai yang hendak dibawa keluar dari Malaysia.

Katanya, lelaki itu juga melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019.

Menurutnya, pengembara yang ingin membawa keluar sejumlah besar wang tunai dan instrumen boleh niaga perlu mengikrarkan menggunakan Borang Kastam No 7.

"Ikrar ini perlu sekiranya amaun melebihi atau bersamaan nilai AS$10,000.

"Selain itu, kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mata wang Ringgit Malaysia perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum dibawa keluar dari Malaysia," katanya.

Beliau memaklumkan kes itu adalah kes kedua yang diperoleh JKDM Zon Tengah dan meminta orang ramai supaya membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara darisegi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 11:46 AM