ANTARA barang rampasan kes penipuan pelaburan skim cepat kaya kumpulan ' Highway Group ' semasa Sidang Media di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Jalan Tun Razak. FOTO Azhar Ramli
ANTARA barang rampasan kes penipuan pelaburan skim cepat kaya kumpulan ' Highway Group ' semasa Sidang Media di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Jalan Tun Razak. FOTO Azhar Ramli
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis masih memburu saki baki individu yang terbabit dengan sindiket pelaburan skim cepat kaya yang dijalankan oleh kumpulan Highway Group.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata, pihaknya yakin ada individu yang turut terbabit dengan sindiket berkenaan masih bebas berdasarkan jumlah laporan yang diterima berkaitan kegiatan kumpulan itu.

"Dari semakan rekod, kita mendapati terdapat 175 laporan polis dibuat terhadap syarikat Highway Group dengan kerugian dicatatkan mencecah lebih RM10 juta.

"Polis sudah menahan 14 individu sebelum ini, termasuk dua dalang utama berstatus datuk dari empat lokasi berasingan iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur, namun kita tidak menolak kemungkinan ada lagi individu terbabit dengan sindiket berkenaan masih bebas," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mortadza berkata, pihaknya meminta orang ramai yang menjadi mangsa sindiket berkenaan agar tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

"Hasil maklumat risikan, kita mendapati syarikat ini mempunyai lebih 500,000 pelabur dengan jumlah pelaburan dianggarkan sebanyak RM35 juta.

"Justeru, kita menyeru kepada mangsa penipuan skim pelaburan cepat kaya itu agar tampil membuat laporan polis bagi mengenalpasti individu terbabit dan membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 5:51 PM