Kuala Lumpur: Kewujudan video yang mula menjadi viral menggunakan pengenalan (ID) Isis Malaysia 69 yang mengancam ingin menyerang mahkamah lebih dianggap cubaan provokasi dan mewujudkan suasana gempar.

Malah, hal ini terbukti apabila kes itu tidak dikendalikan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaliknya disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan dalang yang membuat video itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mortadza Nazarene (gambar) ketika dihubungi memberitahu pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung penyebaran video itu.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Menurut sumber, siasatan kes video rakaman menggunakan ID Isis Malaysia 69 dipercayai adalah perbuatan individu yang cuba mencetuskan provokasi dan suasana gempar.

“Pengamatan polis, kumpulan IS tidak akan sekali-kali mengeluarkan video serta memberitahu waktu dan lokasi kawasan serangan atau pengeboman mereka.

“Tindakan individu dalam rakaman berkenaan cuba mewujudkan elemen panik, namun pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:29 AM