MORTADZA (dua kanan) bersama pegawai kanan polis menunjukkan kad kredit yang dirampas. FOTO Izhari Ariffin
MORTADZA (dua kanan) bersama pegawai kanan polis menunjukkan kad kredit yang dirampas. FOTO Izhari Ariffin

KOTA KINABALU: Polis Sabah menahan dua individu di Tawau kerana dipercayai anggota sindiket pemalsuan kad kredit rentas sempadan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata, individu berumur 31 dan 43 tahun itu ditahan pada kira-kira 4 petang, 20 Jan lalu di hotel.

"Ketika serbuan dijalankan, kedua-dua suspek warga tempatan itu sedang memproses dan mencetak kad kredit palsu," katanya pada sidang berita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, hari ini.

Hasil pemeriksaan di bilik itu, polis menemui 141 keping kad kredit yang siap dicetak serta beberapa peralatan mencetak kad kredit, telefon bimbit, kad pengenalan milik warga Singapura dan plastik disyaki mengandungi syabu.

Mortadza berkata, penahanan suspek berkenaan kemudian membawa kepada penemuan 118 keping lagi kad kredit dari sebuah kenderaan selain menemui 48 keping kad kredit di rumah yang diserbu di Taman Bukit Raya di sini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15 dan Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mortadza berkata, dari Januari hingga Disember tahun lalu, sebanyak 162 kes jenayah kad kredit dengan kerugian RM2,195,096 dilaporkan berbanding 135 kes membabitkan kerugian RM1,542,199 dalam tempoh sama pada 2013.

Selain itu, katanya, antara 17 Disember lalu hingga 20 Januari tahun ini, Polis Sabah menerima empat laporan kes mengenai penipuan tawaran kerja di Semenanjung melalui iklan di media dan laman sosial. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 10:03 PM