RAZIE (kanan) jaring gol tunggal negara pada aksi semalam.
RAZIE (kanan) jaring gol tunggal negara pada aksi semalam.

Ipoh: Tiga mata berharga dikutip skuad hoki negara selepas menewaskan gergasi Asia Pakistan 1-0 pada perlawanan penuh dramatik pada saingan Piala Sultan Azlan Shah malam tadi.

Kejayaan itu sekali gus mencerahkan peluang Malaysia beraksi pada penentuan tempat ke-3/4, Sabtu ini apabila mengumpul lapan mata untuk menduduki tangga keempat liga yang berlangsung secara round robin itu.

Ketua jurulatih negara Stephen Van Huizen nyata lega dengan kemenangan itu sambil memuji barisan pemainnya yang mempertahankan kedudukan 1-0 sehingga tamat perlawanan.

“Biasanya kami berdepan masalah pada hujung perlawanan atau lima minit terakhir. Tapi hari ini (semalam) setiap pemain dapat mengatasi segala tekanan dengan baik.

“Saya harus memuji usaha mereka yang mempertahankan kedudukan sehingga tamat perlawanan untuk memperoleh tiga mata penuh.

“Kini kami lebih realistik untuk cuba merebut tempat beraksi pada penentuan tempat ke-3/4,” katanya.

Skuad negara beraksi dengan disiplin tinggi pada suku pertama sehingga menyaksikan mereka di depan seawal minit ke-4 menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim.

Bersambung suku kedua, skuad negara dilihat terus menguasai perlawanan, tetapi masih buntu untuk menambah gol.

Ajaz Ahmad mempunyai peluang terhidang untuk menyamakan kedudukan apabila berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol negara, Hairi Abdul Rahman pada minit ke-33, namun penjaga gol kedua negara itu tenang menampan tolakan Ajaz.

Pakistan melakukan asakan berterusan ke arah kawasan D negara pada suku terakhir, tetapi Hairi cemerlang menafikan beberapa cubaan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 10:18 AM