Oleh Saiful Affendy Sapran


Johor Bahru: Demi maruah, ketua pasukan skuad remaja negara Muhd Haziq Samsul (gambar) menggesa rakan sepasukan melupakan segala kisah pahit dan bangkit dalam misi memungut tiga mata penuh pertama apabila bertemu Pakistan, hari ini.

Meskipun perlawanan terakhir di saingan Piala Sultan Johor hari ini sekadar memberi peluang tipis untuk beraksi di penentuan tempat ke-3/4, Haziq berkata, skuad negara tidak boleh pulang tanpa sebarang kemenangan.

Justeru, pemain yang beraksi pada edisi ketiga tahun lalu itu mahu maruah negara dipertahankan dengan menewaskan Pakistan walau apa cara sekalipun.

“Ini maruah kerana kami membawa nama Malaysia. Tahun lalu kami melangkah ke final dan menewaskan Pakistan di peringkat kumpulan.

“Walaupun tahun ini kami tidak mampu mengulangi pencapaian itu, saya harap barisan pemain muda negara dapat bangkit menewaskan Pakistan sekali lagi,” katanya.

Jelas Haziq, dia menerima kekalahan tiga perlawanan sebelum ini kerana baginya itulah hakikat sebenar keupayaan skuad negara.

Katanya situasi kini berbeza dengan tahun lalu yang menyaksikan skuad negara dibarisi ramai pemain beraksi bersama pasukan senior.

“Saya tak nafikan pasukan sebelum ini kuat kerana ada tujuh atau lapan pemain senior yang membantu pemain remaja.

“Kini, apabila saya ambil alih tempat Fitri Saari selaku ketua pasukan, hanya ada tiga pemain senior termasuk saya.

“Ia sebenarnya tugas agak berat untuk saya, Shahril Saabah serta Meor (Muhammad Azuan Hasan).

“Walau apapun, kami perlu harungi semua ini dan saya percaya keadaan akan berubah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:06 AM