Johor Bahru: Meskipun perlawanan terakhir bertemu Pakistan pada saingan Piala Sultan Johor hari ini sekadar melengkapkan jadual perlawanan kerana peluang ke final sudah tertutup rapat, pengendali skuad negara Arul Selvaraj tetap menuntut anak buahnya meraih tiga mata penuh.

Bagi Arul, kemenangan cukup penting untuk membuktikan Malaysia lebih baik berbanding Pakistan sekali gus cuba mencari peluang beraksi di penentuan tempat ke-3/4 walaupun peluang itu cukup tipis.

“Kami perlu kalahkan Pakistan. Setakat ini pemain sudah mempamerkan persembahan bagus.

“Cuma pada minit-minit akhir, mereka hilang fokus dan tidak kuat dari segi mental. Perkara ini perlu diperbetulkan sebelum bertemu Pakistan.

“Peluang untuk mengatasi Pakistan lebih cerah. Kami perlu gunakan perlawanan ini untuk cuba mencari peluang beraksi di tempat ke-3/4,” katanya.

Arul berkata, beliau sedar semua pihak termasuk media mengharapkan anak buahnya mencatat kemenangan pada setiap perlawanan.

Namun katanya, dengan kekangan masa dihadapi mereka untuk membentuk sebuah pasukan mantap, apa saja keputusan pada edisi kali ini akan menjadi pengajaran berguna untuk mereka.

“Saya bukan mahu memberikan alasan, tetapi hakikatnya tempoh enam bulan untuk membentuk pasukan sebelum turun pada kejohanan ini sememangnya tidak cukup.

“Tapi saya tetap bersikap positif dan yakin skuad ini akan lebih berbeza pada tahun depan,” katanya.

Selepas empat perlawanan, skuad negara sekadar meraih satu mata iaitu ketika seri dengan New Zealand manakala tiga perlawanan lain berakhir dengan kekalahan.

Berdasarkan prestasi semasa, skuad negara dilihat sekadar mampu beraksi pada penentuan tempat ke-5/6 sekali gus mengulangi pencapaian buruk anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:06 AM