PEMAIN SMK Kem Terendak dan Mega Rinting FC ketika sesi latihan.
PEMAIN SMK Kem Terendak dan Mega Rinting FC ketika sesi latihan.
myMetro

Kuala Lumpur: Kem Junior Bola Sepak Allianz (AJFC) edisi 2016 bermula dengan perlawanan berlangsung di dua zon - Zon Tengah dan Selatan pada 2 April lalu.

Perlawanan berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi (Zon Tengah) dan Kompleks Sukan Hang Jebat, Melaka (Zon Selatan).

Selain aksi di dua lokasi berkenaan, bagi perlawanan akan berlangsung di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (Zon Utara) dan padang Majlis Perbandaran Kuantan serta Kolej Islam Pahang Kuantan (Zon Timur) pada 9 April ini.

Liga ini menawarkan peluang kepada pemain bola sepak berumur di antara 14 hingga 16 tahun untuk berlatih dengan FC Bayern Munich yang memegang rekod 25 kali juara Jerman di Munich.

”Sejak permulaan liga ini pada 2012, kami melihat ramai pemain bola sepak berbakat menampilkan kebolehan mereka. Tahun lalu, lima pemain Malaysia berjaya ke Munich dan kami amat teruja menantikan peserta berbakat lain kali ini. Walaupun hadiah utama adalah memenangi liga ini dan melawat FC Bayern, kami berharap peserta dapat mempelajari prinsip penting permainan bola sepak seperti bermain secara adil, saling menghormati, bekerjasama dan perpaduan melalui pengalaman ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad Zakri Khir.

Sepanjang liga yang membabitkan enam minggu itu, 63 pasukan berdaftar akan bermain mengikut format 11-sebelah selama 60 minit.

Perlawanan akhir bagi Zon Utara dan Selatan akan berlangsung pada 7 Mei, diikuti Zon Timur (14 Mei) dan Zon Utara (28 Mei).

Panel pemilihan serantau kemudian memilih 18 pemain terbaik dari setiap zon untuk membentuk empat pasukan serantau.

Selepas berlatih tiga hari, empat pasukan berkenaan akan ke peringkat akhir di UKM Bangi pada 3 dan 4 Jun.

Pada kemuncak peringkat akhir 13 pemain akan dipilih untuk menghadiri Kem Asia AJFC di Bali, Indonesia dari 19-21 Julai sebelum tiga pemain terbaik akan menghadiri AJFC di Munich, Jerman dari 25 hingga 30 Ogos.

Keputusan, gambar dan video liga AJFC 2016 boleh didapati di laman Facebook Allianz Malaysia di facebook.com/AllianzMalaysia dan laman rasmi AJFC di allianzfootball.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 7:20 AM