Pantai Timur muncul juara Pertandingan Bola Sepak Junior Allianz Liga Malaysia 2019.
Pantai Timur muncul juara Pertandingan Bola Sepak Junior Allianz Liga Malaysia 2019.
Firdaus Hashim


KEM Remaja Bola Sepak Allianz (AJFC) edisi 2019 menyaksikan 10 pemain muda terbaik bakal berentap sesama sendiri bagi mengisi dua kuota untuk menjalani latihan bersama kelab gergasi Bundesliga iaitu Bayern Munich pada Ogos nanti.

Pemain terbaik di AJFC akan di bawa ke Kem Explorer Allianz (AEC) - Edisi Bola Sepak Asia di Singapura yang dijadual pada 23 hingga 26 Julai ini sebelum mendapat tunjuk ajar jurulatih belia Bayern Munich, Saebener Strasse sekaligus membuka peluang buat pemain tempatan menimba ilmu bola sepak di negara itu.

Salah seorang pemain yang terpilih, Adam Alif berkata, dia amat teruja untuk membawa cabaran negara di Singapura nanti dan memasang impian untuk mencuri tempat ke Jerman.

"Saya tak sangka terpilih dalam 10 terbaik. Ramai yang berbakat tapi alhamdulillah rezeki memihak saya.

"Ini peluang keemasan untuk saya belajar lagi pasal bola sepak dan kalau boleh saya mahu ke Jerman dan lihat sendiri kemudahan yang ada di kelab Bayern Munich," kata pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad, Pekan, Pahang itu.

Aksi pemain Pertandingan Bola Sepak Junior Allianz Liga Malaysia 2019 di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). FOTO Nurul Shafina Jemenon
Aksi pemain Pertandingan Bola Sepak Junior Allianz Liga Malaysia 2019 di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). FOTO Nurul Shafina Jemenon

Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir, pihaknya berbangga dengan penganjuran AJFC tahun ini yang mempamerkan aksi sengit daripada semua pasukan.

"Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Zon Pantai Timur yang menjuarai edisi musim 2019 dan tahniah kepada 10 pemuda hebat yang akan mewakili Malaysia di AEC-Edisi Asia di Singapura!

"Kejayaan anda bukan sesuatu yang mudah dan anda patutlah berasa bangga dengan diri sendiri. Nikmati saat ini," katanya.

Pada aksi Grand Final, pasukan Zon Pantai Timur dinobatkan sebagai juara Kem Bola Sepak Junior Allianz (AJFC) Liga Malaysia 2019 selepas membelasah Zon Utara 2-1 pada final di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), hari ini.

Wilayah Selatan, Sabah, Tengah dan Sarawak di tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam selepas perlawanan berlangsung mengikut format round robin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 8:31 PM