Pemain Kuantan Soccerkids FC A (kanan) cuba melakukan rembatan sambil dihalang pemain Tunas Lagenda Pahang pada aksi final. FOTO Ihsan Allianz.
Pemain Kuantan Soccerkids FC A (kanan) cuba melakukan rembatan sambil dihalang pemain Tunas Lagenda Pahang pada aksi final. FOTO Ihsan Allianz.

KEM Bola Sepak Junior Allianz (AJFC) Liga Malaysia 2019 menghampiri kemuncaknya apabila perlawanan wilayah terakhir di Sabah dijadualkan berlangsung hujung minggu ini untuk menyertai skuad wilayah Selatan, Utara dan Pantai Timur di final pada 6 Julai ini.

AJFC wilayah Selatan bermula di Stadium Hang Tuah, Melaka pada 6 April lalu dan dimenangi JBFA selepas menundukkan CIMB Melaka Juniors 2-0 menerusi jaringan Muhammad Ateep pada minit ke-25 dan Muhammad Aimman pada minit ke-60.

Kemenangan JBFA itu adalah yang ketiga berturut-turut di AJFC sekali gus membanggakan jurulatih, Zainuddin Osman.

“Saya gembira dengan kemenangan ketiga berturut-turut kami di AJFC dan secara keseluruhan, saya berbangga dengan pencapaian pemain saya dan ini akan menjadi asas yang kukuh buat kami untuk membentuk pasukan lebih cemerlang pada masa akan datang,” kata Zainuddin.

Bagi saingan AJFC wilayah Utara yang dimenangi Bintang Biru selepas mengalahkan KBB Allstar FC 1-0.

Kapten Bintang Biru, Muhammad Imran meluahkan rasa gembira kerana kemenangan berkenaan membuatkan semua usaha keras mereka sebelum ini memberi pulang berbaloi.

“Saya dapat membanggakan ayah. Beliau pembakar semangat dan sentiasa menyokong saya dan abang untuk mencapai matlamat kami.

“Memenangi liga dan berjaya menduduki tangga 18 terbaik adalah cara untuk membalas jasanya.

Fokus kami selepas ini ialah untuk melakukan yang terbaik di final nanti,” kata Imran yang turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik wilayah Utara.

AJFC melebarkan sayapnya di Kuantan pada 14 April lalu dan dimenangi Kuantan Soccerkids FC A yang juga juara wilayah Pantai Timur buat kali keempat berturut-turut selepas menundukkan Tunas Legenda Pahang 1-0 di Stadium UIA.

Selepas final AJFC pada 6 Julai nanti, 18 pemain terbaik yang dipilih daripada setiap wilayah akan berentap sesama sendiri, disertai pasukan Sabah dan Sarawak.

Kemuncaknya, 10 pemain terbaik akan dipilih panel diketuai bekas pemain kebangsaan, K Gunalan untuk menyertai Kem Explorer Allianz - Edisi Bola Sepak di Singapura pada 23 hingga 26 Julai nanti.

Pemain seterusnya akan mengambil bahagian dalam sesi latihan dan bertanding merebut dua tempat untuk menyertai Kem Explorer Allianz di Munich di mana mereka berpeluang untuk berlatih di bawah kendalian jurulatih belia FC Bayern Munich di Sabener Strasse.

AJFC mula diperkenalkan di Malaysia pada 2012 dan terbuka kepada pemain berusia 14 hingga 16 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 8:22 PM