Pasukan Sepanyol meraikan kejayaan mereka selepas menumpaskan Perancis 2-1 pada aksi separuh akhir Euro 2024.
Pasukan Sepanyol meraikan kejayaan mereka selepas menumpaskan Perancis 2-1 pada aksi separuh akhir Euro 2024.
AFP

Berlin: Selepas menghabiskan lebih satu dekad penuh dengan kekecewaan, akhirnya ada sinar buat Sepanyol untuk menjulang piala apabila menempah slot final Euro 2024 pada awal pagi Isnin ini.

Memenangi dua Kejohanan Eropah pada 2008 dan 2012 adalah antara detik terindah selain turut menjulang Piala Dunia 2010 dengan skuad La Roja dijangka mendominasi bola sepak untuk tahun akan datang.

Melihat kepada pada tahun sebelum ini, prestasi Sepanyol jatuh menjunam namun pemain yang ada sekarang ini bakal menggantikan generasi emas yang pernah mereka ada dahulu.

Juara dua kali kejohanan Euro itu disingkirkan oleh Itali dalam pusingan 16 Euro 2016, dengan akhbar Marca melabelkannya sebagai "The End" untuk La Roja di bawah Vicente del Bosque.

Sepanyol terus bernasib malang pada penampilan di pentas Piala Dunia 2018 menentang Rusia melalui penalti, menyempurnakan lebih 1,000 hantaran tetapi gagal menewaskan tuan rumah.

Prestasi yang lebih baik pada Euro 2020 apabila melangkah ke separuh akhir namun kekalahan dalam pusingan 16 Piala Dunia 2022 kepada Maghribi adalah perkara yang cukup menyakitkan.

Ketika ini,Persekutuan Bolasepak Sepanyol percaya pasukan itu hampir mencapai tahap yang diperlukan.

Badan induk bola sepak Sepanyol itu menggantikan jurulatih Luis Enrique dengan melantik Luis de la Fuente yang berperanan melatih pasukan muda negara terbabit.

Walaupun pada peringkat awal menimbulkan keraguan penyokong pasukan terbabit, termasuk kekalahan 2-0 kepada Scotland tahun lalu, Sepanyol kekal dengan jurulatih yang kurang dikenali itu dan kini menuai hasilnya.

Fuente menjulang trofi pertama mereka dalam tempoh 11 tahun dengan memenangi Liga Negara musim lalu.

Perkara itu ternyata benar kerana skuad La Roja menjadi pasukan yang menonjol dalam Euro 2024, mendominasi kumpulan yang paling sukar kerana menampilkan juara bertahan Itali, sebelum mengalahkan tuan rumah Jerman dan Perancis.

Apa yang mereka capai sememangnya luar biasa memandangkan barisan pemain bukanlah rata-rata berstatus bintang dengan hanya pemain tengah Manchester City, Rodri saja cukup terkenal dalam pasukan itu.

Pemain sayap Barcelona, Lamine Yamal berusia 16 tahun berjaya meraih perhatian umum namun dia baru saja memulakan kerjayanya.

Walau bagaimanapun, kekurangan bintang ini tidak menjadi masalah buat pasukan kerana mereka beraksi dengan baik ketika ini.

"Saya mempunyai 26 pemain yang hebat dan saya hanya bernasib baik kerana mereka adalah rakyat Sepanyol," kata Fuente.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 11:14 PM