CEO Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir (tiga dari kanan) bersama dengan trofi ketik Majlis Pelancaran AJFC 2020. FOTO Bernama
CEO Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir (tiga dari kanan) bersama dengan trofi ketik Majlis Pelancaran AJFC 2020. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


SEBANYAK 14 slot bakal menanti pemain bertuah bagi mengikuti Allianz Explorer Camp (AEC) Asia di Manila, Filipina pada Julai nanti dengan dua yang terbaik bakal diterbangkan ke Jerman untuk menjalani latihan bersama pasukan remaja Bayern Munich, Ogos ini.

Pemilihan 14 pemain muda tempatan akan dibuat menerusi Kejohanan Bola Sepak Remaja Allianz (AJFC) yang sudah memasuki edisi kesembilan bermula pada 29 Februari ini di wilayah tengah dan selatan, diikuti utara dan pantai timur (7 Mac) sebelum ke Sabah dan Sarawak (14 Mac).

Setiap wilayah akan mempunyai 16 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dengan pemenang kumpulan (dua pasukan setiap wilayah) akan bermain di peringkat akhir nanti.

Menurut ketua panel pemilihan yang juga bekas pemain kebangsaan dan Selangor era 90an, K Gunalan, mengganggap inisiatif yang dilakukan Allianz ini cukup baik dalam mencungkil bakat-bakat baru negara.

Katanya, ini adalah platform terbaik buat pemain muda mendapatkan pengalaman dan ilmu apabila berpeluang berlatih bersama kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

"Ia akan jadi peluang terbaik pemain untuk meningkatkan teknik dan taktikal permainan mereka. Bukan senang nak dapat peluang ini dan saya harap pemain-pemain yang akan menyertai AJFC nanti bersedia dari awal," katanya.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata, selain kemahiran dan perlawanan bola sepak, pemain muda berusia 14-16 tahun itu juga akan diajar mengenai komunikasi dan pengurusan kewangan di luar padang.

"Sejak 2012, kita sudah melihat hampir 9,034 pemain mencuba nasib di AJFC. Ada antara mereka sudah menjadi pemain profesional dalam Liga Malaysia dan kita sekali lagi sedia untuk mengenengahkan bakat mereka," kata Zakri.

Antara pemain profesional yang lahir menerusi penganjuran AJFC adalah penjaga gol skuad bawah 23 (B-23) tahun negara yang juga pemain Petaling Jaya Rangers, Damien Lim, S Sharvin (pemain B-19 kebangsaan) dan Amirul Zul Aiman Asmaly (pemain pembangunan PJ City FC).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 8:23 PM