Kuantan: Kuantan Soccerkids A muncul juara Liga Kem Junior Bola Sepak Allianz (AJFC) Zon Pantai Timur selepas menewaskan Tanah Putih Baru FC 3-0, semalam.

Tempat ketiga milik Terengganu FC II yang menewaskan Makmur United 4-0.

Susulan muncul juara, Kuantan Soccerkids A membawa pulang wang tunai RM2,500 manakala Tanah Putih Baru FC (RM1,500). Terengganu FC II pula menerima RM500 manakala Makmur United dianugerahkan sijil.

Dalam perlawanan penentuan pada 7 Mei lalu, Tanah Putih Baru FC yang juga juara Kumpulan A menewaskan naib juara Kumpulan B, Makmur United 1-0 untuk mara ke perlawanan akhir.

Kuantan Soccer Kids A selaku juara Kumpulan B menewaskan naib juara Kumpulan A, Terengganu FC II dengan 3-1.

Liga AJFC menawarkan peluang kepada pemain bola sepak yang berumur di antara 14 hingga 16 tahun untuk berlatih dengan FC Bayern Munich yang juga pemegang rekod 25 kali juara Bundesliga di Munich, Jerman.

Pertandingan ini turut diadakan di tiga lokasi lain dengan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi bagi Zon Tengah, Kompleks Sukan Hang Jebat, Melaka (Selatan) dan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (Utara).

Pertandingan Zon Pantai Timur berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Kuantan dan Kolej Islam Pahang Kuantan.

Sepanjang enam minggu liga berlangsung, 63 pasukan bertarung mengikut format 11 sebelah selama 60 minit.

Perlawanan akhir bagi Zon Utara pula akan berlangsung pada 28 Mei ini.

Panel pemilihan serantau akan memilih 18 pemain terbaik dari setiap zon untuk membentuk empat pasukan serantau. Pasukan ini akan bertanding di Peringkat Akhir di UKM, Bangi pada 3 dan 4 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 5:09 AM