Nas Adila bersama suami dan anaknya
Nas Adila bersama suami dan anaknya
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Nas Adila, memberitahu ketulan sebanyak lima sentimeter di payudaranya sudah mengecut selepas selesai menjalani kitaran kimoterapi sebanyak enam kali dan pembedahan pada September lalu.

Menurut Nas atau nama sebenar Nas Adila Mohd Dan, 37, yang disahkan menghidap kanser payudara tahap 3, dia sudah selesai menjalani pembedahan dan melakukan enam kitaran kimoterapi dengan dos ubat yang kuat serta mahal pada Julai tahun ini.

"Alhamdulillah, ketulan di payudara sudah mengecut dari lima sentimeter dan hampir hilang.

"Doktor cadangkan untuk buat rawatan di semua payu dara sebelah kiri untuk pastikan ia tidak merebak kerana hormon saya jenis aktif," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengenai rawatan kimoterapi lagi, kata Nas, memandangkan hormonnya jenis (Hr2) positif, kanser itu boleh datang semula.

"Saya juga perlu menjalani rawatan kitaran kimoterapi sebanyak 17 kali lagi tapi dengan ubat yang tidak sekuat seperti sebelum ini serta radioterapi sebanyak 15 kali.

"Saya juga sudah memulakan rawatan kitaran kimoterapi sebanyak 17 kali tetapi hanya sebulan sekali.

"Selain itu, saya masih menunggu untuk temujanji rawatan radioterapi sebanyak 15 kali lagi," katanya.

Berkongsi mengenai kesan kimoterapi, kata Nas, dia tidak boleh bangun, tiada selera makan dan hilang berat badan sebanyak lapan kilogram sebelum ini.

Katanya, kitaran kimoterapi yang dibuat sebelum pembedahan juga memang memberi kesan pada tubuhnya.

"Kitaran kimoterapi sebelum pembedahan membabitkan botol kimoterapi yang keempat hingga keenam itu sangat kuat.

"Selain rambut gugur, saya tidak boleh bangun dan asyik berbaring sahaja. Selama lima hari selepas kimoterapi juga, saya tiada selera makan sehingga hilang berat badan yang banyak," katanya.

Bagaimanapun, kata Nas, dia bersyukur kerana suami dan anak-anak menjadi sumber kekuatannya untuk berjuang melawan kanser terbabit.

"Suami banyak memberi sokongan dan menjaga saya sepanjang menjalani rawatan.

"Selain itu, ahli keluarga dan rakan rapat yang banyak mengambil berat mengenai keadaan diri saya.

"Saya juga sentiasa fikir positif dari semua sudut dan bagi saya ini masanya Allah SWT untuk ampunkan dosa-dosa sebab itu saya mahu kembali sihat untuk banyakkan amalan baik," katanya.

Sementara itu, mengenai karier seni pula, kata Nas, dia masih teruskan karier nyanyian seperti biasa.

"Saya juga masih dapat undangan persembahan untuk majlis makan malam, perkahwinan dan karnival kerana saya juga buat aktiviti zumba dalam acara dijayakan," katanya yang juga jurulatih zumba.

Hasil perkongsian hidup dengan penyanyi Alif Akademi Fantasia musim keenam (AF6), mereka dikurniakan dua anak lelaki berusia 7 dan 4 tahun.

Terdahulu, Nas memberitahu doktor mengesahkan ketulan di payudaranya itu adalah kanser selepas melakukan pemeriksaan pada 1 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 6:55 PM