FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Oleh Ardini Sophia Sina

PENYANYI, Mohamad Aliff Mohd Razali, 29, selamat bergelar suami kepada Nas Adila Mohd Dan, 29, dengan sekali lafaz dalam majlis yang diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Negara, Abdullah Mat, pada 10.40 pagi ini.

Nas Adila berwalikan bapanya, Mohd Dan Sudin, yang disaksikan kira-kira 100 ahli keluarga dan sahabat kedua mempelai.

Aliff memberikan mas kahwin RM350 serta wang hantaran RM25,000. Rombongan lelaki turut membawa lima dulang hantaran berbalas tujuh.

Aliff yang ditemui selepas selesai akad nikah melahirkan rasa gembira kerana majlis itu berjalan dengan lancar.

"Alhamdulillah. Kami berjaya menghalalkan hubungan kami. Saya gembira menjadi seorang suami. Walaupun sebelum ini ada masalah yang pernah melanda.

"Saya sangat gembira dan lega kerana akad nikah berjalan seperti yang sudah dirancang. Saya harap hubungan ini akan berkekalan," kata bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim keenam itu.

Sementara itu, resespsi diadakan pada sebelah malam di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada hari yang sama berkonsepkan ala taman.

Majlis sambut menantu pula bakal berlangsung di Pulau Pinang pada Februari tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 12:05 PM