London: Louis van Gaal (gambar) enggan memikul tanggungjawab atas kekalahan memalukan 1-2 Manchester United di tangan kelab Belanda FC Midtjylland dalam saingan Liga Europa sebaliknya menjadikan nasib sebagai alasan.

Anak buah van Gaal dijangka mudah mengatasi kelab Belanda berkenaan tetapi gagal menambah gol pembukaan yang dihasilkan Memphis Depay pada babak pertama dengan Pione Sisto serta Paul Onuachu menambah derita United.

Beberapa hari selepas United dimalukan 1-2 Sunderland, hadir satu lagi pengalaman memedihkan buat van Gaal ketika aksi di MCH Arena.

Tetapi van Gaal yang pasti berdepan tekanan untuk melepaskan jawatan dengan Jose Mourinho sekali lagi dikaitkan dengan jawatan pengurus Old Trafford, tegas mengatakan kekalahan terbaru United itu didorong kecederaan beberapa pemain penyerang.

Selepas ketiadaan kapten Wayne Rooney yang cedera, van Gaal kini berdepan kebimbangan apabila penjaga gol David de Gea mengalami kecederaan lutut ketika sesi latihan dengan beliau terpaksa menurunkan Sergio Romero.

“Kami tidak bernasib baik,” kata van Gaal. “Apabila terpaksa memulakan perlawanan ketika penjaga gol utama berada dalam senarai kecederaan, sudah pasti anda tidak dapat bermula seperti biasa.

“Apabila anda bermain dengan pasukan lain setiap minggu dengan menurunkan pemain berbeza, ia sama sekali tidak membantu.

“Banyak perkara yang bermain di minda pemain. Gol pertama itu terhasil selepas bola terkena pemain lain, ia sukar dipercayai, agak melampau.”

Van Gaal yang mendedahkan De Gea akan menjalani ujian imbasan untuk menentukan tahap kecederaannya, mengaku anak buahnya tidak bermain seperti biasa ketika menentang Midtjylland.

“Pada babak kedua kami tidak memenangi perebutan bola. Jadi, sudah tentu anda tidak dapat menjaringkan gol tambahan,” katanya.

“Jesse Lingard beroleh dua peluang. Dalam keadaan tertentu, kami bermain secara tidak teratur.”

United bagaimanapun masih boleh menebus aib van Gaal jika menang perlawanan ulangan di Old Trafford minggu depan, jika pengendali Belanda itu masih lagi bergelar pengurus di Old Trafford. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:06 AM