PEMAIN United sugul selepas tewas di Old Trafford.
PEMAIN United sugul selepas tewas di Old Trafford.
AFP

Manchester, England: Louis van Gaal mengakui kegagalan Manchester United berpunca daripada sikap kurang yakin pasukan apabila mengutuk aksi mereka yang tewas mengejut 1-2 kepada Norwich.

Skuad Van Gaal kini mencatat enam perlawanan tanpa kemenangan selepas Norwich meraih kemenangan pertama di Old Trafford sejak 1989.

Jaringan Cameron Jerome dan Alex Tettey membolehkan pelawat mendahului dua gol dan jaringan Anthony Martial buat United gagal mencetuskan sebarang kebangkitan daripada tuan rumah yang tidak bersemangat.

Van Gaal terus menerima kritikan daripada peminat dan bekas pemain kerana taktik permainan berhati-hati dan United sekali lagi diejek penyokong tuan rumah yang berang.

Aksi hambar mereka menyebabkan kelab itu tersingkir daripada Liga Juara-Juara dan terkeluar daripada empat kelompok teratas Liga Perdana Inggeris.

Malah pengkritik Van Gaal pastinya sukar menerima pengakuan beliau bahawa keyakinan begitu rendah di United yang hanya melakukan dua percubaan tepat menentang lawan yang berada dalam zon penyingkiran.

“Apa yang anda lihat hari ini adalah apa yang berlaku jika kurang keyakinan. Ia tidak cukup bagus,” kata Van Gaal.

“Ini kekalahan pertama musim ini di Old Trafford. Ia mengesahkan kami berada dalam zaman sukar dan perlu mengatasinya.

“Ia memang sukar kerana jika tidak pasti kami mampu melakukannya hari ini. Kami perlu menang ke atas Norwich. Kami perlu menang setiap perlawanan di tempat sendiri.

“Masalahnya adalah bagaimana kami perlu melepaskan diri daripada zaman sukar. Ia boleh dilakukan jika anda bersatu, bukan saja pemain dan pengurus tapi juga peminat kerana ia amat penting.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:09 AM