VAN GAAL (tengah) puji aksi cemerlang pemain ketika menentang West Ham..
VAN GAAL (tengah) puji aksi cemerlang pemain ketika menentang West Ham..
AFP

Manchester: Pengurus Manchester United Louis van Gaal memuji semangat pasukannya yang menjaringkan gol saat akhir bagi membolehkan mereka beraksi perlawanan ulangan suku akhir Piala FA di West Ham selain peluang menyelamatkan kempen mereka musim ini.

United ketinggalan menerusi jaringan menakjubkan Dimitri Payet sebelum Anthony Martial menyamakan kedudukan pada minit ke-83 untuk memberikan harapan baru buat pasukan Van Gaal menamatkan musim ini dengan trofi sekali gus menyelamatkan karier jurulatih Belanda itu.

“Apabila anda bermain menentang West Brom dan kalah, juga tewas ketika menentang Liverpool, kebangkitan seperti itu amat menakjubkan,” kata Van Gaal.

“Apabila anda lihat semangat pasukan saya, ia sesuatu yang luar biasa.

“Apabila anda tewas kepada Liverpool ia amat memberi kesan kepada kelab.

“Kemudian anda beraksi dua hari selepas itu menentang pasukan bagus seperti West Ham yang bersiap sedia untuk perlawanan ini sejak seminggu lalu sedangkan kami hanya mempunyai tempoh empat hari untuk pulih, sebelum mendapati anda ketinggalan 0-1.

“Jadi, kebangkitan seperti itu sesuatu yang mengagumkan.

“Saya sentiasa berbangga dengan pasukan dan peminat juga begitu. Saya menyaksikan perlawanan hebat dan menghiburkan.

“Kami masih bersaing dalam kejohanan dan saya katakan kepada Wayne Rooney, Luke Shaw, Ashley Young bahawa anda semua masih boleh bermain pada perlawanan akhir.”

Ketiga-tiga pemain yang cedera itu bakal cergas pada Mei tetapi United yang ketinggalan 0-2 kepada Liverpool pada perlawanan pertama 16 pasukan terakhir Liga Europa dan kini di tangga keenam Liga Perdana Inggeris, masih terlalu jauh untuk memenangi Piala FA buat kali pertama sejak 2004.

West Ham dengan kejayaan terakhir kejohanan itu adalah pada 1980, menang 10 daripada 15 perlawanan sebelumnya untuk mara ke kelompok lapan pasukan terbaik buat kali pertama sejak 2011 selain berada di atas United dalam saingan Liga Perdana Inggeris bagi kemungkinan menduduki empat tangga teratas.

Mereka hampir menang di Old Trafford buat kali pertama dalam 11 kunjungan hasil gol ke-11 Payet musim ini selepas memanfaatkan sepakan percuma sejauh 30 ela.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 10:36 AM