AFP

London: Manchester United yang kelihatan semakin yakin di bawah kendalian Louis van Gaal akan cuba menambah kedukaan Manchester City apabila musuh setempat itu bertembung pada perlawanan jiran tetangga bagi aksi menarik Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, malam ini.

Rentetan lima kemenangan menyaksikan United mengatasi City buat kali pertama musim ini dan satu lagi kejayaan minggu ini pasti mengeruhkan lagi suasana menyelubungi Stadium Etihad.

Kekalahan 1-2 City di tangan Crystal Palace awal pagi Selasa lalu menyebabkan mereka ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Chelsea dan kerana bermain lebih satu perlawanan, secara efektif menamatkan usaha mereka mempertahankan kejuaraan serta kini berdepan perjuangan untuk meraih tempat ke Liga Juara-Juara.

Berada di tangga keempat liga, anak buah Manuel Pellegrini selesa tujuh mata di depan pasukan tangga kelima Liverpool, namun kedua-dua Arsenal dan United sudah merampas usaha mereka layak ke Liga Juara-Juara secara automatik dan kekalahan malam ini pasti menyukarkan lagi tugas mereka.

“Saya mengimpikannya. Setiap pemain harus mengimpikan kemenangan,” kata pengurus United, Van Gaal, pasukannya kini satu mata di depan City di tangga ketiga.

“Saya sudah memikirkan bersama staf dan pemain bagaimana kami boleh menundukkan Man City.

“Anda melakukan proses terbaik untuk menundukkan lawan anda berikutnya dan sudah tentu kemenangan dicari kerana ia satu langkah besar dalam carta liga.

“Apabila anda menang, tangga ketiga boleh digapai sekalipun sebulan lalu tiada siapa memikirkan mengenainya kecuali saya.”

Selepas lima kekalahan dalam tujuh perlawanan, pengurus City Pellegrini menjadi bahan spekulasi media mengenai masa depannya di Etihad.

Namun sekalipun jika kalah di tangan Van Gaal akan memburukkan lagi kedudukan pengendali dari Chile itu, masih ada alasan untuk yakin berikutan rekod pertembungan City pada perlawanan jiran setempat Manchester.

Kemenangan akan memberikan City kejayaan kelima berturut-turut menentang United buat kali pertama dan mereka menang dalam tiga kunjungan terakhir ke Old Trafford di samping menjaringkan 11 gol.

“Saya fikir mereka menghormati kami, dalam beberapa tahun terakhir kami mendominasi pertemuan jiran setempat selain Liga Perdana,” jelas Pellegrini.

“Pertembungan jiran setempat ini mengujakan. Saya harap ia bukan saja sengit tapi berkualiti, untuk penyokong.

“Ia perlawanan penting kerana kami tidak jauh dalam carta, tapi saya tidak fikir musim ini sudah berakhir bagi kedua-dua pasukan.”

City menang 3-0 di United musim lalu sebelum menang 1-0 pada November lalu di Etihad, namun mereka pasti bimbang dengan ancaman kapten United, Wayne Rooney, yang menjadi penjaring gol terbanyak dalam pertembungan itu dengan 11 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:12 AM