MUHAMMAD Aali Al Fateh bersama guru prasekolahnya.
MUHAMMAD Aali Al Fateh bersama guru prasekolahnya.
Siti Norhidayah Mohd Yunus dan Nor Syazrina Muhamad Tahir


Kuala Lumpur: Sambutan Hari Guru baru-baru ini bukan saja menghargai jasa mereka mendidik anak bangsa, malah turut diraikan oleh anak murid dan ibu bapa dengan pelbagai hadiah sebagai penghargaan secara peribadi.

Untuk tujuan itu, sepasang suami isteri turut menghadiahkan tudung berjenama mewah kepada semua guru di sekolah anaknya sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan mereka sebagai pendidik.

Muhammad Suffian Abu, 35, berkata, idea pemilihan tudung berjenama mewah sebagai hadiah sempena sambutan Hari Guru itu berikutan semua guru anaknya perempuan.

Menurutnya, anaknya, Muhammad Aali Al fateh Muhammad Suffian, 5, menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang pembelajarannya di tadika prasekolah di Sungai Petani, Kedah.

"Ini tahun pertama persekolahan anak bongsu saya dan tiada salahnya untuk saya dan isteri menghargai jasa guru yang mendidik anak saya sehingga dia sudah pandai membaca, mengira dan mengaji dalam jangka masa singkat.

"Saya tidak kisah mengeluarkan sejumlah wang yang besar membeli hadiah berjenama mewah asalkan anak saya ini menunjukkan prestasi yang bagus di sekolah itu," katanya.

Katanya, seramai sembilan guru prasekolah termasuk seorang pembantu guru prasekolah menerima hadiah tudung berjenama mewah itu.

"Idea untuk memilih tudung sebagai hadiah Hari Guru datang daripada saya dan pemilihan warnanya pula daripada isteri saya.

"Saya dan isteri mahu menghadiahkan barangan yang boleh dipakai selalu dan disimpan dalam jangka masa panjang," katanya.

Suffian berkata, pemberian ini tidak setanding dengan jasa dan pengorbanan guru yang banyak menabur bakti kepada anak bangsa sehingga berjaya ke menara gading.

Video penyampaian hadiah oleh pasangan itu tular sehingga berjaya meraih 114,7 ribu tontonan, 1,520 tanda suka dan 351 perkongsian di TikTok.

MUHAMMAD Aali Al Fateh bersama  guru prasekolahnya.
MUHAMMAD Aali Al Fateh bersama guru prasekolahnya.

Sementara itu, seorang lagi pendidik di utara semenanjung, Nur Sylvia Edan, 30, berkata, dia menerima hadiah Hari Guru yang paling bermakna baru-baru ini berupa jambangan ulam-ulaman yang dibuat sendiri oleh muridnya.

"Pada mulanya, anak murid kelas yang saya ajar memberitahu ada seorang murid bawah jagaan saya, malu untuk memberikan hadiah.

"Saya tahu dia malu kerana hadiah yang ingin diberinya itu tidak mahal, tetapi saya terus pergi kepadanya dan berpesan, apa juga hadiah yang diberi, sebagai guru saya tetap bersyukur dan terharu.

"Ya saya sangat terharu, sebab saya tahu usaha yang dibuatnya sendiri untuk memberikan saya hadiah Hari Guru walaupun tidak seberapa," katanya ketika dihubungi.

Kata Sylvia, 'jambangan' ulam-ulaman yang dibalut daun lerek diterimanya itu mempunyai pucuk paku, pucuk ubi, cili padi dan bunga kantan.

"Dia (murid) terinspirasi apabila melihat guru di sini menggunakan jambangan bunga untuk program yang sekolah buat.

"Saya juga pernah menerima hadiah yang berupa buah-buahan, ubi kayu dan juga durian semasa sambutan Hari Guru," katanya.

Guru Bahasa Melayu itu berkata, kemeriahan menyambut Hari Guru bersama anak Orang Asli ini sama seperti sekolah lain, tetapi membezakannya ialah usaha yang mereka berikan.

SYLVIA  bersama anak muridnya memaklumkan meriah menyambut Hari Guru bersama anak Orang Asli.
SYLVIA bersama anak muridnya memaklumkan meriah menyambut Hari Guru bersama anak Orang Asli.

"Cuma kadang-kadang Hari Guru di sini, akan disambut bersama ibu bapa murid. Mereka akan datang untuk bagi hadiah seperti ubi kayu satu guni.

"Saya sangat terharu dengan usaha mereka, walaupun tidak mahal, tetapi niat mereka itu yang penting," katanya.

Sylvia berkata, dia tidak sangka videonya itu menjadi viral kerana niatnya kenang-kenangan sahaja.

Video tular itu berjaya meraih 1,600,000 juta tontonan, 187,000 tanda suka dan 9,292 perkongsian di TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 6:30 AM