ELLA bersama CEO merangkap Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal.
ELLA bersama CEO merangkap Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal.
Syafil Syazwan Jefri


SELEPAS melakar kejayaan besar menerusi acara Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota, Ratu Rock Negara, Ella Aminuddin bakal menggegarkan pentas Dewan Plenari KLCC menerusi acara Konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia pada 9 Ogos depan.

Diadakan dalam skala lebih kecil, konsert yang lebih 'intimate' ini juga bakal menampilkan Ella mempersembahkan lagu-lagunya diiringi orkestra.

"Kita masih dalam proses perbincangan dan sebenarnya dah ada kesemua lagu. Pemilihan lagu adalah salah satu 'masalah' besar setiap kali konsert.

"Apa yang boleh saya katakan, akan ada lagu yang tak pernah dimainkan juga, bakal dipersembahkan. Semuanya berdasarkan permintaan peminat," katanya.

Menurut Ella, dia juga akan mempersembahkan beberapa lagu asli dalam satu segmen khas.

"Saya akan bawakan juga beberapa lagu asli, tapi dengan susunan muzik yang berbeza. Lagu ini saya yang pilih dan saya rasakan ini adalah cabaran untuk saya sebagai penyanyi. Ia lagu asli yang akan disusun mengikut muzik orkestra," katanya.

Ditanya mengenai penyanyi jemputan yang akan berkongsi pentas dengannya di acara konsert itu, Ella berkata, ia masih lagi dirahsiakan dan hanya memberikan beberapa pembayang.

"Kalau saya cakap sikit sahaja pembayang, anda mesti dah tahu. Dia adalah idola saya dan saya adalah peminat dia. Yang pasti, dia bukan penyanyi rock dan artis ini adalah pilihan saya. Saya nak simpan untuk kejutan," katanya.

Sementara itu, Pengarah muzik, Datuk Acis berkata, dia akan menyusun atur susunan lagu mengikut kesesuaian durasi masa untuk acara Konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia itu.

"Mungkin kita akan potong sikit jumlah lagu sebab nak sesuaikan dengan waktu. Pengkhususan untuk orkestra lain sikit. Jadi, kita nak susun sebaik mungkin.

"Kebanyakan lagu adalah berkonsepkan Rockestra. Saya rasa, akan ada segmen untuk band sahaja. Tapi, semuanya masih dibincangkan. Mungkin akan ada 27 pemuzik di atas pentas nanti," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal selaku penganjur pula berkata, konsert kali ini tentunya akan lebih 'dekat' dengan hati peminat Ella memandangkan kapasitinya yang lebih kecil.

"Harga tiket kali ini agak berbeza kerana kapasiti lebih kecil. Susunan pemuzik kali ini lebih besar daripada di Axiata, jadi kami cuba buat yang terbaik untuk pembeli juga selain untuk pihak kami," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mempertimbangkan untuk mengadakan malam kedua memandangkan Konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia hanya berlangsung dalam satu malam, Rohit berkata, banyak perkara perlu dipertimbangkan.

"Semuanya masih dibincangkan. Kalau kami jual tiket pada 9 Ogos, dan adakan hari tambahan pada 8 Ogos, orang yang beli tiket awal akan bising sebab mereka mesti beli tiket untuk hari pertama. Jadi, mesti akan dipertikai.

"Ada perkara yang perlu dipertimbangkan dan kami akan kongsikan perkembangan di media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 6:45 AM