SESAK nafas dan batuk juga antara gejala asma.
SESAK nafas dan batuk juga antara gejala asma.
Nurul Husna Mahmud


Asma berlaku dalam kalangan kanak-kanak antara penyakit kerap dihadapi golongan itu yang banyak mengundang kebimbangan ibu bapa dengan gejalanya.

Dalam sesetengah kes serangan asma terhadap kanak-kanak, ibu bapa masih keliru menyamakan gejala penyakit itu dengan selesema.

Seharusnya ibu bapa mendalami dan memahami gejala penyakit ini kerana masalah kesihatan ini dideritai setiap satu dari 10 kanak-kanak yang berumur antara enam hingga 14 tahun.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik Subang Jaya Medical Center (SJMC), Dr Angelina Amaladoss, ibu bapa yang dapat membezakan gejala asma dan selesema dapat membantu ibu bapa menguruskan penyakit anak itu dengan baik.

ANAK patung, bulu haiwan, asap dan banyak lagi perlu dielak.
ANAK patung, bulu haiwan, asap dan banyak lagi perlu dielak.

Meskipun simptom atau gejala asma dan selesema mirip tetapi terdapat implikasi berbeza dalam merawatnya.

"Selesema biasanya disebabkan jangkitan virus dan permulaan gejala ialah demam mendadak, sakit badan, sakit kepala, dan sakit tekak.

"Ia juga boleh menyebabkan masalah 'gastrousus' seperti muntah atau cirit-birit. Gejala ini biasanya sembuh dengan cepat dan boleh ditangani tanpa memerlukan ubat.

"Sebaliknya, asma dikenali dengan tempoh simptom yang lebih lama dan mungkin dikaitkan dengan sejarah keluarga seperti rinitis alergi, ekzema dan atopi.

"Batuk dialami biasanya lebih ketara pada sebelah malam, awal pagi dan ketika melakukan senaman. Mungkin terdapat gejala berkaitan antaranya, pernafasan yang cepat, sesak nafas dan sakit dada. Gejala dan tanda rinitis alahan dan ekzema mungkin juga ada," katanya.

DR ANGELINA ibu bapa perlu peka perbezaan gejala asma dan selsema.
DR ANGELINA ibu bapa perlu peka perbezaan gejala asma dan selsema.

Tambah pakar itu, sangat penting ibu bapa mengenal pasti punca atau 'pencetus' kepada serangan asma bagi mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

"Asma memerlukan pendekatan komprehensif untuk pengurusan yang berkesan, tidak seperti sifat selesema.

"Ini menjadikan diagnosis awal dan tepat penting dalam mencegah komplikasi jangka panjang dan memastikan kualiti hidup kanak-kanak tidak terjejas akibat penyakit itu.

"Ibu bapa kena teliti faktor yang boleh menjadi punca serangan asma kerana itu menentukan hala tuju rawatan," katanya.

Menyentuh kepada punca atau pencetus kepada serangan asma dalam kes membabitkan kanak-kanak adalah pelbagai.

Kata Angelina, persekitaran rumah sangat penting terhadap pengurusan atau kawalan serangan asma ke atas kanak-kanak.

Malah dalam ceramah atau maklumat yang sering dikongsikan bersama keluarga pesakit atau masyarakat, beliau menekankan ibu bapa perlu memastikan tempat tinggal atau dalam rumah, atmosferanya mesra buat pesakit asma.

PERLU terus dapatkan rawatan.
PERLU terus dapatkan rawatan.

"Untuk menguruskan gejala asma dengan berkesan, pendedahan kepada perengsa punca asma seperti asap rokok, vape, kemenyan, bulu haiwan peliharaan, mainan mewah, dan juga permaidani harus diminimumkan.

"Kawalan itu dilakukan ibu bapa dalam persekitaran rumah terutamanya dapat membantu menguruskan asma dengan baik.

"Bukti pengawalan atau sekatan terhadap objek atau benda yang boleh mencetuskan serangan asma berkesan yang mana anak boleh menikmati gaya hidup lebih sihat.

"Kanak-kanak yang ada masalah asma masih boleh berkembang maju dalam akademik dan sukan, mengurangkan lawatan ke klinik, dan meningkatkan produktiviti keseluruhan.

"Buktinya ramai ahli sukan antarabangsa, termasuk David Beckham dan Paula Radcliffe, mempunyai asma terkawal tetapi masih boleh berkembang maju dalam bidang sukan masing-masing," katanya.

Aspek kritikal dalam menguruskan asma kanak-kanak ialah memahami sifat kroniknya dan memastikan pematuhan berterusan terhadap pelan rawatan.

Namun aspek inilah kerap dipandang remeh oleh ibu bapa yang anaknya ada masalah asma.

"Saya perlu tekankan kepada ibu bapa bahawa ciri-ciri penyakit asma ialah tidak boleh sembuh 100 peratus.

"Walaupun ramai kanak-kanak 'bebas' daripada serangan asma, tidak bermakna mereka sembuh sepenuhnya dan asma perlukan rawatan konsisten.

"Sebaliknya yang dilakukan ramai ibu bapa apabila bertindak menghentikan rawatan mereka apabila gejala berkurangan.

"Adalah penting untuk terus mematuhi rawatan ditetapkan walaupun simptom tidak hadir," katanya.

Pendekatan atau komitmen ibu bapa terus mendapatkan rawatan berterusan membantu mencegah episod serangan berulang semula dan memastikan penyakit itu dapat ditangani untuk jangka panjang, mengurangkan kekerapan dan tahap keseriusan gejala.

Dalam rawatan diberikan, 'inhaler' atau pam sedut mengandungi ubat antara rawatan utama.

"Untuk kes asma yang teruk, memperkenalkan ubat baharu dan teknik invasif minimum menandakan kemajuan yang ketara dalam menangani masalah asma.

"Inhaler kekal sebagai rawatan utama, tetapi untuk kes yang lebih mencabar, rawatan seperti antibodi monoklonal (contohnya omalizumab atau mepolizumab) dan antagonis reseptor leukotriene (LTRA) digunakan bagi menguruskan gejala dengan lebih berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 7:00 AM