MEMPUNYAI keunikan meniru suara pelakon popular.
MEMPUNYAI keunikan meniru suara pelakon popular.
Ridzuan Abdul Rahman


BARANGKALI nama pelakon S Azli hanya dikenali oleh sebahagian masyarakat kita terutamanya mereka yang berusia pertengahan 40-an ke atas.

S Azli atau nama sebenarnya Ghazali Syabudin, 76, sinonim kebolehan dengan uniknya meniru suara pelakon-pelakon era 50-an dan 80-an antaranya Haji Bakhil (Udo Omar), Jins Shamsuddin, S Shamsuddin, Aziz Jaafar, S Kadarisman, Nordin Ahmad, Mahmud Jun dan ramai lagi.

Pada usianya kini, pelakon berasal dari Pulau Pinang ini masih bergiat aktif dalam seni dan sesekali ditawarkan berlakon termasuk melakonkan watak utama dalam drama Sandiwara Biola Ayah di RTM baru-baru ini.

"Jiwa dan minat saya masih dalam seni. Jika ada tawaran berlakon, saya pasti akan terima tanpa mengira apa sahaja wataknya.

"Saya masih boleh berlakon, namun asalkan wataknya ringan dan tak memerlukan saya beraksi lasak," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Pada zamannya, Azli sering diundang menjayakan persembahan pentas secara berpasangan dengan beberapa pelakon lain seperti Isma Aliff dan Allahyarham Rahim Dalmia atau Mamu.

"Seronok kerana peminat terhibur menyaksikan gandingan kami. Saya meniru pelbagai suara artis, manakala Rahim tiru suara M Zain sementara Isma dengan caranya yang tersendiri.

"Saya bukan pelawak dan seorang yang serius. Malah A R Badul pernah kata, kalau saya berlakon lawak, ia jadi serius. Dia suruh saya tiru suara pelakon popular, baru orang gelak," katanya.

Selain lakonan, Azli juga mempunyai bakat dalam nyanyian dan pernah menghasilkan album solo.

"Saya menyanyi menggunakan suara asli dan bukanlah buat gimik meniru suara pelakon-pelakon yang selalu saya ajuk.

"Cuma saya pernah berbuat demikian (menyanyi meniru orang lain) sewaktu menjayakan persembahan pentas. Ia atas permintaan," katanya.

Pelakon utama filem Tak Ori Tapi Ok (2005), kini menghabiskan masa berehat di rumah selepas diserang strok ringan pada bahagian sebelah kiri badan sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.

Menurutnya, kejadian berlaku semasa dia bertemu dengan rakan-rakannya di sebuah restoran berdekatan kediamannya di Ampang.

"Saya sebenarnya suka berjaga malam untuk berbual dengan rakan-rakan sehingga jam tiga atau empat pagi. Isteri saya selalu nasihat jangan balik tengah malam sangat.

"Mungkin ketahanan badan saya dah berkurangan menyebabkan saya terkena strok. Seperti biasa, saya berbual dengan kawan-kawan dan mereka cakap waktu itu dah tengah malam.

"Ada yang kata agak bahaya saya kerap balik tengah-tengah malam kerana macam-macam boleh jadi. Saya jawab okey, awal lagi dan sambung berbual," kata Azli yang mula bergiat aktif dalam teater sejak 1970-an dan drama sekitar 1980-an dengan drama pertama lakonannya disiarkan di RTM berjudul Kamal.

Menurutnya, secara tiba-tiba selepas itu dia ternampak depan matanya semacam ada satu kawasan yang terang dan cantik.

"Saya nampak kawan saya ada di situ dan saya pun terus masuk. Apabila masuk, saya terus rasa lain macam. Apabila balik dan sampai rumah baharulah saya kena strok.

"Ikut kata-kata orang tua saya kena lintasan (perkara mistik). Apabila dimasukkan ke HKL, doktor cakap darah saya tak jalan. Lain-lain tiada kecuali belah kiri badan kebas.

"Lima hari masuk wad, doktor bagi makan ubat dan tengok keadaan saya makin baik dan kemudian benarkan saya balik berehat di rumah," kata Azli yang berkahwin dengan Ambiah Ayub, 65, dan mempunyai tiga anak iaitu Mohd Azri, 45, Mohd Asmadi Ghazali, 42, dan Mohd Hanip, 41, serta seorang cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 6:55 AM