SAUJANA indah pemandangan dari puncak Bukit Keluang.
SAUJANA indah pemandangan dari puncak Bukit Keluang.
Paya Linda Yahya


Indahnya pemandangan seumpama lukisan besar yang terpampang jelas di depan mata. Luasnya Laut China Selatan ibarat tiada pengunjung.

Perasaan penulis berbaur terpegun dan teruja dengan keindahan Bukit Keluang, Besut, Terengganu yang dikunjungi bersama keluarga baru-baru ini.

Diajak untuk bersama-sama mendaki Bukit Keluang, penulis pada mulanya agak ragu-ragu kerana adanya si kecil Muhammad Ammar Aidan Mohd Fauzi yang baru berusia empat tahun.

Pelbagai persoalan timbul, risau si kecil tidak betah berlama-lama di dalam kawasan hutan walaupun ia adalah kawasan rekreasi untuk keluarga.

Seawal jam 7.30 pagi kami bertolak dari Bachok, Kelantan untuk ke Besut yang menjadi sempadan antara dua negeri.

Sebelum memulakan pendakian kami sempat bersarapan di kaki bukit dan membeli beberapa botol air mineral sebagai bekal sepanjang perjalanan nanti.

Penulis difahamkan terdapat tiga laluan untuk sampai ke puncak bukit. Kami memilih laluan pertama yang lebih santai memandangkan terdapat empat kanak-kanak kerana laluan kedua dan ketiga adalah curam namun disediakan tali untuk mendaki.

Sudah pasti si kecil adalah yang paling teruja, bersemangat berjalan walaupun beberapa kali ditawarkan untuk didukung abang dan ayahnya.

Sesekali ditegur pendaki yang dalam perjalanan turun menyatakan si kecil pendaki paling muda ditemui sepanjang pendakian pada hari itu.

Perjalanan di laluan yang sudah disediakan mengambil masa hampir 30 minit untuk sampai ke puncak agak melelahkan bagi penulis yang sudah lama tidak melakukan aktiviti pendakian.

Namun, saat tiba di puncak dalam sekelip mata setiap kesusahan dan kepayahan sepanjang pendakian hilang apabila melihat pemandangan indah Laut China Selatan yang tiada penghujungnya.

MUHAMMAD Ammar (berbaju merah) begitu bersemangat mendaki Bukit Keluang.
MUHAMMAD Ammar (berbaju merah) begitu bersemangat mendaki Bukit Keluang.

PENGALAMAN pendakian yang menarik.
PENGALAMAN pendakian yang menarik.

PENULIS (kiri) bergambar kenangan bersama keluarga di puncak Bukit Keluang.
PENULIS (kiri) bergambar kenangan bersama keluarga di puncak Bukit Keluang.

Rugi sekiranya tidak dipotretkan momen-momen indah bersama keluarga ketika sampai di puncak Bukit Keluang ini.

Dalam hati terdetik ingin mengulang kembali saat berada di Bukit Keluang ini yang kini menjadi salah satu tarikan pelancong di negeri yang terkenal dengan keropok lekor dan ikan

celup tepung atau popular dengan nama ICT.

Hampir setengah jam kami menghabiskan masa di atas Bukit Keluang, bergambar dan menikmati keindahan pemandangannya.

Jelas juga kelihatan bot yang berada di tengah lautan, awan yang putih gebu seumpama dekat di depan mata dan angin sepoi-sepoi bahasa menyapa lembut ke wajah.

Dalam perjalanan turun kami memilih untuk menggunakan laluan kedua yang agak curam namun sudah disediakan tali bagi kemudahan pendaki.

Dengan membawa kanak-kanak bersama, kami perlu lebih berhati-hati dan memantau setiap pergerakan khuatir sekiranya tergelincir dan selalu mengingatkan untuk sentiasa memegang tali ketika berjalan.

Alhamdulillah, selepas 15 minit melalui laluan yang sukar itu, kami selamat sampai ke kaki bukit dan berehat sebentar sebelum ke lokasi seterusnya.

Bagi meraikan kejayaan anak-anak yang berjaya mendaki dan sebagai pendorong semangat mereka, penulis membawa mereka mandi di Pantai Bukit Keluang yang terletak berdekatan Bukit Keluang.

Di sini juga pengunjung turut disajikan dengan pemandangan indah dengan pelbagai kemudahan disediakan seperti surau, tandas dan bilik mandi.

Malah di tepi pantai pelbagai gerai yang menjual aneka jenis makanan, pakaian dan turut disediakan aktiviti 'banana boat.'

Bagi penulis, Terengganu antara negeri yang menjadi pilihan utama untuk bercuti bersama keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 7:00 AM