GANDINGAN mantap Diana Nazyra, Dhwan Abu dan Bob Yusof.
GANDINGAN mantap Diana Nazyra, Dhwan Abu dan Bob Yusof.
Georgie Joseph

SEJAK dulu lagi kolaborasi dua negara iaitu Malaysia dan Singapura dalam industri hiburan sentiasa mendapat perhatian serta maklum balas positif banyak pihak.

Disamping perkongsian dari segi ilmu dan kepakaran ia juga membantu melebarkan pasaran jenama seseorang artis itu.

Justeru buat julung kalinya gabungan tiga artis iaitu Diana Nazyra, Dhwan Abu dan Bob Yusof mempertaruhkan lagu baru yang penuh adat serta budaya menerusi single terbaharu berjudul Tera Tari.

Lagu berentak etnik pop moden itu menggabungkan budaya Jawa dan Sunda.

Lirik yang diolah oleh Razzaq An'Arddzy dengan hasil ciptaan Diana Nazyra dan Omar K ini menjanjikan elemen muzik yang segar.

Malah konsep lagu ini di ambil dari tarian Jaipong Karawang, sebuah warisan budaya yang menceritakan perjalanan hidup melalui seni tari.

Sebagai seorang artis yang penuh berpengalaman dalam bidang vokal dan seni persembahan, Dhwan Abu menyalurkan kepakarannya dalam lagu ini kerana beliau terpana dengan melodi yang memukau dan lenggok lirik yang menyentuh jiwa.

Katanya, dia tertarik mendengar demo lagu terbabit ketika pertama kali mendengarnya.

"Pertama kali demo lagu ini dimainkan, saya sungguh tertarik dengan gaya melodinya yang jarang kita dengari pada hasil muzik zaman kini.

"Ia membawa sisi yang berbeza dan saya amat terpikat untuk bekerjasama menjayakannya." katanya.

Sementara itu, Bob Yusof atau nama sebenarnya Yusrizan Usop, 42, turut sependapat dengan rakan seangkatannya itu mengenai lagu berkenaan.

Katanya, dia sungguh teruja dengan penyatuan elemen muzik Jawa dan memandang ia sebagai suatu nafas baharu terhadap dunia muzik tradisional sekali gus memartabatkan kembali industri berkenaan.

"Bagi saya, Diana dan Dhwan adalah sebuah pakej lengkap. Mereka mempunyai vokal nyanyian yang baik, idea yang segar dan amat mudah untuk kami bekerjasama kerana mereka sangat berdisiplin ketika bekerja.

"Walaupun keserasian berjaya dibina dalam penghasilan lagu ini, cabaran utama adalah pencarian lenggok bahasa dan aturan muzik yang sesuai agar tidak lari jauh dari elemen yang digubah untuk seiring dengan gabungan muzik moden," katanya.

Diana Nazyra dan Bob Yusof mengakui cabaran yang dihadapi untuk menggabungkan muzik tradisional Jawa dan Sunda dengan sentuhan pop kontemporari agak berat dan sukar.

Namun, ia juga adalah sebuah cabaran yang membuka peluang dan ruang untuk berinovasi yang membolehkan lagu ini memupuk perpaduan melalui muzik.

Muat turun lagu Tera Tari di iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, Tidal dan Deezer.

Dengarkan gandingan hebat antara artis Malaysia dan Singapura, Diana Nazyra, Dhwan Abu dan Bob Yusof dalam lagu terbaharu mereka.

Untuk maklumat terkini layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 6:20 AM