KISNER fokus melakukan pukulan.
KISNER fokus melakukan pukulan.

Los Angeles: Kevin Kisner mencatat eagle pada lubang ke-72 semalam ketika dia dan rakan sepasukannya Scott Brown membawa perlawanan ke aksi playoff hari ini berdepan Jonas Blixt dan Cameron Smith pada kejohanan Klasik Zurich New Orleans.

Cuaca semakin gelap ketika pukulan chip Kisner bergolek di green, terkena pin dan masuk ke dalam lubang dengan pemain Australia Smith membalasnya dengan putt untuk birdie dari jarak dua kaki yang terus meletakkannya dengan pemain Sweden Blixt untuk memburu gelaran.

“Saya beritahu kepada diri sendiri, masukkan bola ke dalam lubang,” kata Kisner. “Ia satu pukulan yang boleh anda impikan.”

Kedua-dua menamatkan saingan dengan 27 di bawah par 261 selepas pusingan better-ball semalam di mana Blixt dan Smith membuat 64 pukulan manakala Kisner dan Brown pulang dengan 60 pukulan.

Kejohanan itu adalah acara berpasukan Jelajah PGA Amerika Syarikat pertama dalam tempoh 36 tahun. Ia mempertaruhkan aksi dua pemain dalam satu pasukan dalam dua pusingan better ball dan dua pusingan alternate shot.

Blixt and Smith – yang memburu gelaran pertama jelajah AS – tidak pernah melakukan sebarang kesilapan apabila menamatkan aksi regulation tanpa sebarang bogey.

Mereka mendahului selepas 36 dan 54 lubang dan berjaya menangani serangan daripada Kisner dan Brown, yang melakukan birdie pada 10 daripada 11 lubang pertama untuk mendahului saingan.

Enam daripada birdie itu hadir sebelum permainan ditangguhkan selama lebih daripada enam jam akibat ribut petir.

Dengan birdie Blixt di lubang ke-16 dan Smith di lubang ke-17 kedua-duanya kembali mendahului dengan satu pukulan.

Namun pukulan chip yang berjaya disempurnakan Kisner bermakna keempat-empat pemain akan kembali untuk menyelesaikan perhitungan mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 2:03 PM