GAYA baharu trak pikap D-Max.
GAYA baharu trak pikap D-Max.
Lizam Ridzuan


KENDERAAN trak pikap kini semakin menarik dengan pelbagai ciri sporty yang ditawarkan dan terbaharu menerusi pengenalan Isuzu D-Max Baharu 2024 untuk pasaran tempatan.

Model generasi ke-3 ini mula dilancarkan pada 2021 kini ditawarkan dengan ciri peningkatan baharu daripada segi aspek kemasan luaran dan dalaman.

Antara yang paling ketara ialah rekaan bampar dan gril hadapan serta rekaan lampu hadapan baharu dan lampu membelok LED yang tampil lebih segar.

Bampar juga dengan corong aliran angin pada bahagian sisi lampu kabus kedua bahagian untuk ciri erodinamik yang lebih baik serta cermin sisi liputan automatik.

Tambah menarik dengan lampu 'selamat datang' baharu yang dipancarkan ke permukaan jalan untuk keunikan dan gaya premium dan rel bumbung.

Ia juga dipadankan dengan rim aloi 18 inci yang bergaya dan rekaan pintu kargo baharu boleh dikunci (X-Terrain) serta rekaan lampu belakang baharu 'combi' lebih menarik menjadikan ia tampil menyerlah secara keseluruhan.

Untuk rekaan dalaman ia dikemaskini dengan sistem infotainmen bersaiz 10 inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Adroid Auto, kerusi balutan kulit baharu dengan sentuhan ciri rekaan klasik origami Miura Jepun dan ia didatangkan dengan lampu suasana.

KEMASAN dalaman diperbaharui.
KEMASAN dalaman diperbaharui.

Ia juga dengan pengecas USB Type-C dan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang, 8 pembesar suara 'Live Surround', panel meter e-Lumax 7 inci paparan berwarna Paparan Pemandangan Sekitar (AVM) 360 darjah.

Varian X-Terrain juga dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) dengan penarafan lima bintang ASEAN NCAP dan serta dilengkapi kamera stereo baharu generasi keempat dengan sudut pandangan bertambah kepada 120 darjah.

Ia boleh mengesan dan mengenalpasti jumlah objek lebih banyak termasuk pejalan kaki dan kanak-kanak untuk tindak balas lebih pantas dan tepat.

D-Max baharu juga dengan ciri zon kawalan suhu dwi-zon automatik, kerusi larasan elektrik pemandu, kerusi balutan kulit dengan 'elastic comfort foam' anti-gegaran dan plat kemasukan pintu bercahaya LED.

SHUNSUKE (dua kanan) ketika pelancaran media.
SHUNSUKE (dua kanan) ketika pelancaran media.

Aspek pemanduan juga diperbaharui dengan ciri baharu Mod Rough Terrrain untuk semua model 4x4 Double Cab dan menerusi pengaktifan mod itu sama ada 2H, 4H atau 4L ia akan meningkatkan cengkaman dan menguruskan agihan kuasa secara terus.

D-Max ditawarkan menerusi lima varian Single Cab, Standard, Autoplus, Premium dan X-Terrain dengan mengekalkan dua pilihan enjin 1.9 liter dan 3.0 liter. 4 silinder, VGS Turbo Intercooler Diesel DOHC dan transmisi 6 kelajuan automatik dengan Sequential Shift.

TAMPIL ranggi dengan warna baharu.
TAMPIL ranggi dengan warna baharu.

Malaysia adalah negara ketiga melancarkan model D-Max Baharu ini selepas Thailand dan Australia dan ia kini dengan tawaran warna baharu Oren Namibu.

Turut hadir ketika pelancaran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

Untuk pasaran Malaysia Isuzu D-Max dijual pada harga bermula RM98,949 untuk varian 1.9 liter Single Cab hingga varian teratas X-Terrain dijual pada harga RM157,938 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 7:00 AM