GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Dr Mohd Khafidz Soroni

DI dalam era media sosial kini pelbagai informasi dan khabar berita mampu sampai kepada kita melalui hujung jari secara pantas. Bagaimanapun, kita perlu bijak memilih antara yang positif dan negatif. Jangan kita memilih informasi atau khabar berita yang boleh menjadi toksik kepada kesihatan mental.

Pemilihan yang salah ini boleh menyebabkan pelbagai sikap negatif dalam diri seperti rasa benci, marah atau dengki terhadap individu tertentu. Campur tangan pempengaruh atau pencipta kandungan media sosial juga boleh menjadi faktor yang mendorong ke arah situasi demikian. Keadaan ini jika tidak dikawal boleh membawa kepada perkembangan sosial yang tidak sihat dalam masyarakat.

Komentar yang negatif, melampaui batas atau biadab misalnya boleh menyebabkan anxiety (keresahan) terhadap mangsa, malah boleh membawa kepada depresi dan paranoid. Stres, depresi dan kemurungan melampau sudah dikenal pasti antara faktor pendorong kepada banyak kes bunuh diri atau percubaan bunuh diri.

Maka, kembalilah kepada bimbingan agama dalam memastikan penjagaan kesihatan mental yang baik. Hentikan daripada menilai hal orang lain yang tidak mendatangkan sebarang manfaat dan keuntungan kepada diri kita.

Amalkan kaedah penjagaan kesihatan mental yang sebenar sebagaimana diajarkan oleh baginda Nabi SAW sejak lama dahulu dalam banyak hadis. Antara asasnya, bermula dengan hati yang baik dan sentiasa berfikiran positif.

Terdapat sebuah kisah menarik mengenai penjagaan kesihatan mental yang baik ini. Anas bin Malik RA menceritakan: "Kami pernah duduk bersama Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda, 'Akan muncul sekarang kepada kamu sekalian seorang lelaki daripada ahli syurga.' Lalu muncul seorang lelaki Ansar yang janggutnya masih menitikkan kesan air wuduknya, sambil menggantungkan kedua-dua capalnya di tangan kirinya. Keesokan harinya Nabi SAW bersabda seperti itu juga, lalu muncul lelaki itu lagi sebagaimana kali yang pertama. Tatkala hari ketiga Nabi SAW bersabda lagi seperti itu juga, lalu muncul kembali lelaki itu sebagaimana hal keadaannya yang pertama. Maka, setelah Nabi SAW berdiri dan beredar, Abdullah bin Amru RA mengikuti lelaki tersebut dan berkata kepadanya: 'Sesungguhnya aku telah bertengkar dengan ayahku, lalu aku bersumpah untuk tidak menemuinya selama tiga hari, maka jika kamu izinkan untuk aku tinggal di tempatmu sehingga berlalu tiga hari bolehlah aku mengikutimu.' Jawab lelaki tersebut: 'Ya, boleh.'

Abdullah menceritakan bahawa beliau tinggal bersama lelaki berkenaan selama tiga malam, namun beliau tidak pernah melihatnya bangun mengerjakan solat malam sedikit pun, hanya sahaja jika dia terbangun daripada tidurnya dan berbolak-balik di atas ranjangnya, dia berzikir kepada Allah Taala dan bertakbir sehinggalah sampai waktu solat fajar. Kata Abdullah: 'Selain itu juga aku tidak pernah mendengar dia berkata kecuali yang baik-baik sahaja. Maka, setelah berlalu tiga malam dan aku hampir-hampir sahaja meremehkan amalannya, aku pun mendedahkan, 'Wahai hamba Allah, sebenarnya tidak ada sebarang pertengkaran mahupun permusuhan antara aku dengan ayahku, tetapi aku mendengar Rasulullah SAW bersabda tentang dirimu sebanyak tiga kali; 'Akan muncul kepada kamu sekalian sekarang seorang lelaki daripada ahli syurga', lalu kamulah yang muncul sebanyak tiga kali itu. Maka, aku pun ingin tinggal bersamamu agar aku dapat melihat apakah amalanmu sehingga aku dapat mencontohimu.

Namun begitu, aku tidak pernah melihatmu mengerjakan sebarang amalan yang besar, maka amalan apakah yang menyampaikan kamu sebagaimana apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW?" Beliau menjawab: 'Tidak ada amalan lain melainkan sepertimana yang telah kamu lihat.' Maka, tatkala aku berpaling beliau memanggilku lantas berkata: 'Tidak ada amalan lain melainkan sepertimana yang telah kamu lihat, hanya sahaja aku tidak pernah mendapati pada diriku sebarang rasa dengki terhadap sesiapa pun daripada kalangan Muslimin dan aku juga tidak pernah berasa hasad kepada seseorang pun di atas kebaikan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.' Maka, Abdullah pun berkata: 'Inilah amalan yang menyampaikanmu kepada darjat itu." (Riwayat Ahmad dengan sanad sahih)

Abdullah bin Amru RA juga meriwayatkan bahawa baginda SAW pernah ditanya: "Wahai Rasulullah, manakah manusia yang paling afdal?" Jawab baginda: 'Setiap orang yang bersih hatinya lagi benar lidahnya'. Sahabat bertanya: 'Benar lidahnya itu kami tahu, namun apakah maksud bersih hatinya?' Jawab baginda: "Orang yang bertakwa lagi suci, tidak ada dosa padanya, tidak menganiaya, dengki mahupun hasad (terhadap orang lain).'" (Riwayat Ibnu Majah dengan sanad sahih)

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 5:59 AM