KHAI Bahar sebak apabila mengingatkan memori manis bersama arwah ibu.
KHAI Bahar sebak apabila mengingatkan memori manis bersama arwah ibu.
Syafil Syazwan Jefri

KEHIDUPAN penyanyi popular, Khai Bahar, mengalami perubahan ketara selepas kehilangan ibu yang tersayang, Allahyarham Rosnah Muhammad pada awal Januari lalu.

Khai, 30, yang dikenali dengan suara merdunya dan bakat yang luar biasa, merasakan impak emosi yang mendalam akibat pemergian ibunya.

Sebagai seorang anak yang sangat rapat dengan ibunya, Khai sering berkongsi mengenai sokongan dan kasih sayang diterima sepanjang perjalanan kariernya.

Berpeluang merakamkan semula lagu nasyid popular berjudul Rabiatul Adawiyah bersama Inteam, Khai berkongsi proses rakaman yang penuh emosi dan dekat dengan hatinya.

"Perasaan saya sebak sebab lagu nasyid terutamanya, daripada kumpulan Inteam adalah lagu-lagu kegemaran mak. Kaset, CD Inteam, semua dia ada sampai bertingkat-tingkat. Dia memang peminat nasyid," katanya kepada Harian Metro.

Membuka sesi wawancara, Khai dalam nada yang kedengaran sebak mengenang kenangan bersama ibunya tatkala dia sebelum ini pernah berkolaborasi bersama Inteam dan merakamkan semula lagu Setanggi Syurga.

"Pertama kali saya menyanyikan lagu Setanggi Syurga sebelum ini, dia dah cukup gembira. Kemudian, dapat pula peluang untuk berkolaborasi buat kali kedua ini, dia dah tak ada.

"Kalaulah mak masih ada, mesti dia seronok sebab Rabiatul Adawiyah adalah lagu kegemaran dia," katanya.

Tambah anak kelahiran Perlis itu lagi, perjalanan kehidupan wanita bernama Rabiatul Adawiyah itu juga sedikit sebanyak mengingatkannya kepada keperibadian ibunya.

"Memang sebak sewaktu nak rakamkan sebab lagu ini pun mengisahkan mengenai wanita yang kuat. Mak pun bukan insan yang lemah, dengan kesabarannya, doanya, sampailah pemergiannya yang tenang. Saya rasa dekat dengan lagu itu," katanya.

Menurut Khai, dia tidak dapat menafikan, rasa rindu itu kadangkala datang bertandang dan menyentuhnya terutamanya, apabila mengingat kembali kenangan indah bersama ibu.

"Tahun ini, hidup saya rasa sunyi dan berbeza sedikit. Tapi, saya bersyukur, orang yang menyokong saya masih ada bersama saya. Kenangan dan kerinduan itu memang tak boleh hilang.

KHAI rindukan arwah ibunya.
KHAI rindukan arwah ibunya.

"Kadang, kita cuba untuk menggembirakan dan menenangkan hati. Memang sentiasa ada keluarga dan kawan-kawan serta peminat. Itu menjadi kekuatan. Namun, dalam kekuatan itu, ada kerinduan yang tak lepas. Kadang rasa sunyi dan rindu.

"Sekarang, kalau balik kampung pun, ada rasa sunyi dalam hati. Keluarga masih ada, tapi ketiadaan mak itu memang saya sangat rasakan.

"Benda yang paling dirindukan adalah, apabila dia hubungi dan saya berbual di telefon, dia tanya bila nak balik kampung dan sebagainya," katanya.

Hari Ibu yang disambut pada 12 Mei lalu juga membawa kesan berbeza buat penyanyi lagu Bayang ini. Namun, bagi mengubah haluan kesedihannya, Khai berkongsi bahagia dengan mereka yang masih memiliki ibu di luar sana.

"Koleksi tudung yang saya keluarkan iaitu Khairose, memang guna gabungan nama saya dan mak. Saya buat kempen untuk Hari Ibu juga selain kempen untuk buat jambangan bunga yang dibuat menggunakan tudung.

"Itu cara saya ubati kerinduan kepada mak yang dah tak ada. Bila tengok orang dapat beli dan beri hadiah kepada ibu bapa mereka, itu buat saya rasa tumpang bahagia," katanya.

Pesan Khai kepada mereka di luar sana yang masih memiliki ibu bapa, terus hargai mereka sebaik mungkin sementara mereka masih bernafas.

"Pesanan saya, kepada mereka yang masih ada ibu bapa, bahagiakan mereka dan hargai mereka sementara mereka masih ada. Saya tak rasa ralat sebab saya dah cukup bahagiakannya, tak ada sakitkan hatinya.

"Saya rasa, dia pun tengah bahagia dengan apa yang saya buat sekarang. Kadang, bila kita buat benda yang seronok dan bersemangat, kita bayangkan dia pun merestui. Kita doakan dia walaupun dia dah tak ada di dunia ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 6:00 AM