AHMAD Bashah (tengah) berbual mesra dengan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid (kiri) pada Istiadat pelantikan Menteri Besar di Istana Anak Bukit. FOTO Bernama
AHMAD Bashah (tengah) berbual mesra dengan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid (kiri) pada Istiadat pelantikan Menteri Besar di Istana Anak Bukit. FOTO Bernama
Nur Lela Zulkipli


Hulu Selangor: Perdana Menteri tiada kaitan dengan krisis politik Kedah sehingga membawa kepada pelantikan Datuk Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar baru menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata, pihak yang menyebarkan tomahan itu perlu menghentikannya segera kerana apa yang berlaku adalah berpunca daripada UMNO Kedah yang hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, bukannya kehendak Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk EXCO kerajaan negeri beliau lantik sendiri hilang kepercayaan, begitu juga pemimpin UMNO negeri itu meliputi Ketua Bahagian dan pemimpin sayap parti meliputi Wanita, Pemuda dan Puteri.

"Dalam krisis ini saya sendiri susah nak jawab sebab saya dan Mukhriz adalah daripada 'kilang' yang sama iaitu Pergerakan Pemuda UMNO. Dalam konteks ini, Mukhriz sepatutnya menjadi ikon generasi muda dengan berfungsi secara berkesan sebagai Menteri Besar.

"Saya kecewa kerana beliau gagal gunakan peluang yang diberi sehingga hilang kepercayaan daripada UMNO Kedah. Bila beliau gagal bermakna ia turut memberi kesan kepada pemimpin muda, kerana kerajaan akan melihat golongan itu sama ada bijak atur kerajaan dan parti atau sebaliknya," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Strategik Barisan Nasional (BN) diminta mengulas krisis UMNO Kedah selepas melawat tapak pelupusan sanitari sisa pepejal Bukit Tagar, di sini, hari ini.

Berita berkaitan::

Ahmad Bashah angkat sumpah MB Kedah: http://hmtro.com/20rPCCP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 3:12 PM