Mukhriz  bersalaman dengan orang ramai selepas mengadakan perjumpaan bersama akar umbi UMNO Bahagian Jerlun di Wisma UMNO Jerlun. FOTO Eizairi Shamsudin
Mukhriz bersalaman dengan orang ramai selepas mengadakan perjumpaan bersama akar umbi UMNO Bahagian Jerlun di Wisma UMNO Jerlun. FOTO Eizairi Shamsudin
Oleh Ahmad Saufi Mansor


Alor Setar: Pemimpin UMNO Kedah dijangka bertemu dengan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dipercayai berkaitan isu hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), esok.

Sumber berkata, pertemuan itu dijangka berlangsung kira-kira 4 petang.

"Semua Ketua UMNO Bahagian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco kerajaan negeri diarah untuk berjumpa dengan Datuk Seri Najib di Menara Dato' Onn, PWTC, Kuala Lumpur.

"Tujuan perjumpaan berkenaan tidak diketahui, namun dipercayai mempunyai kaitan dengan sidang media oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah), semalam," katanya.

Katanya, pihaknya dimaklumkan tujuh Exco kerajaan negeri serta tiga Ketua Bahagian UMNO turut bertemu dengan Mukhriz di Sri Mentaloon, di sini, selepas Istiadat Pengurniaan Bintang dan Pingat Kebesaran sempena Ulang Tahun Kelahiran Sultan Kedah ke-88 bagi menyatakan sokongan mereka, hari ini.

Semalam, barisan pemimpin UMNO Kedah merayu campur tangan Perdana Menteri untuk mengatasi kemelut kepemimpinan apabila hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Mukhriz berdasarkan beberapa kelemahan serta ketidakupayaan beliau sejak mengambil alih tampuk pimpinan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 10:18 PM