Kereta Menteri Besar di pekarangan Wisma Darulaman, petang tadi. FOTO Sharul Hafiz Zam
Kereta Menteri Besar di pekarangan Wisma Darulaman, petang tadi. FOTO Sharul Hafiz Zam
Oleh Norul Awatif Romli


Alor Setar: Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung dakwaan dibuat Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah terhadap kegagalannya selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah pada bila-bila masa, malam ini.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Mohd Fisol Jaafar berkata, pihaknya kini sedang bermesyuarat berhubung situasi tergempar itu di Wisma Darulaman bersama beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sebelum kenyataan rasmi mengenainya diumumkan.

"Kita berharap semua pihak bersabar dan menunggu kenyataan rasmi yang bakal dikeluarkan Menteri Besar pada bila-bila masa dijangka sebelum jam 12 tengah malam ini.

"Buat masa ini Menteri Besar sedang mengumpul segala maklumat berhubung dakwaan berkenaan," katanya.

Terdahulu, Ahmad Bashah dalam sidang media bersama barisan kepemimpinan UMNO negeri, menyatakan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap Mukhriz selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Berikutan itu, Mukhriz bergegas meninggalkan majlis dihadirinya di Kampung Berjaya, di sini, petang tadi sejurus menerima maklumat berhubung sidang media khas diadakan kepimpinan UMNO Kedah yang menyatakan rasa hilang percaya terhadap kepemimpinan beliau.

Mukhriz dikatakan bergegas ke pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini, dan kini satu mesyuarat sedang diadakan dipercayai mempunyai kaitan dengan isu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 7:11 PM