Sidang media mengenai pemimpin UMNO Kedah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz hari ini.
Sidang media mengenai pemimpin UMNO Kedah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz hari ini.
Oleh Ahmad Saufi Mansor

Alor Setar: Pemimpin UMNO Kedah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, keputusan berkenaan dibuat sebulat suara oleh 14 daripada 15 bahagian UMNO negeri, hari ini.

"Ini disebabkan kelemahan dan ketidakupayaan beliau (Mukhriz) dalam menyatupadukan kepimpinan dan jentera parti di semua peringkat.

"Beliau juga tiada perancangan strategik dalam menghadapi PRU-14 akan datang, selain gagal menggerakkan jentera sebaik mengambilalih pimpinan (UMNO) negeri.

"Sebagai Menteri Besar, beliau (Mukhriz) juga gagal mengurustadbir kerajaan negeri secara berkesan," katanya pada sidang media, di sini, petang tadi.

Hadir sama, Ketua UMNO Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua UMNO Bahagian Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Wanita negeri Datuk Maznah Hamid.

Berikutan itu, katanya, mereka merayu keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membuat perubahan segera ke atas pimpinan tertinggi UMNO Kedah dan Menteri Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 4:31 PM