MUHAMAD Sharip (tengah) dan Mohamad menyampaikan hadiah kepada pemenang.
MUHAMAD Sharip (tengah) dan Mohamad menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Tuah berpihak kepada pasukan Presiden XI apabila menewaskan PB Melayu NS 5-3 menerusi sepakan penalti untuk menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar 2015 yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, baru-baru ini.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam perlawanan sebenar 90 minit.

Kemenangan itu membolehkan Presiden XI membawa pulang trofi dan wang tunai RM15,000 manakala PB Melayu NS menerima piala serta RM10,000.

Presiden XI turut meraih hadiah berganda apabila memenangi Piala Fair Play selain ketua pasukan, Mohd Asraf Roslan dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir dan penyerang utama, Mohd Fauzi Abd Latif, penjaring terbanyak dengan 10 gol.

“Saya sendiri tidak menyangka mampu memenangi kejohanan ini kerana kami bukan pasukan pilihan. Tapi atas faktor semangat dan komitmen tinggi semua pemain, tuah memihak kepada kami.

“Apapun, saya bangga dengan rakan yang tidak putus asa terutama pada aksi akhir, apabila kami berjaya bertahan sehingga tamat perlawanan.

“Kejayaan ini mencatat sejarah tersendiri dan saya berharap kami mampu mengulanginya pada edisi lain,” katanya.

Kejohanan anjuran Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) itu disertai 30 pasukan dari seluruh negeri dengan perlawanan diadakan secara liga sebelum peringkat kalah mati di suku akhir dan separuh akhir.

Kejohanan itu diadakan bertujuan mencungkil bakat baru kerana membabitkan pemain muda bawah 23 tahun selain menyemarakkan lagi pembangunan sukan bola sepak di peringkat akar umbi.

Hadiah disampaikan Undang Luak Rembau yang juga Penaung Persatuan Bolasepak Melayu Negeri Sembilan (PBMNS) Datuk Muhamad Sharip Othman dan Menteri Besar merangkap Presiden PBNS Datuk Seri Mohamad Hasan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 6:27 AM