Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kecewa selepas tersingkir daripada saingan Piala Malaysia, Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) mengambil tindakan drastik dengan menggugurkan semua pemain dan ketua jurulatih musim ini.

Kekecewaan PBNS memuncak apabila Negeri Sembilan (NS) Matrix yang disasarkan layak ke Liga Super musim depan, turut gagal beraksi dalam saingan Piala Malaysia yang dianggap kejohanan berprestij buat kali kedua berturut-turut apabila tewas 0-3 kepada ATM dalam aksi play-off di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam kelmarin.

Sambil menyatakan rasa muak dengan prestasi hambar, Presiden PBNS Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau akan membentuk pasukan baru bagi menghadapi musim 2016 termasuk mendapatkan jurulatih luar negara bagi menggantikan K Devan.

Skuad Hobin Jang Hobin pernah merangkul Piala Malaysia sebanyak dua kali iaitu pada 2009 dan 2011.

Katanya, pihak pengurusan sudah memberi peluang kepada pemain tetapi mereka tidak menunjukkan persembahan diharapkan biarpun menerima gaji lumayan.

“Kami letakkan matlamat layak ke Liga Super, tapi malangnya gagal walaupun bayar gaji tinggi pemain. Kita berbelanja sehingga RM9 juta untuk gaji pemain musim ini, tapi persembahan mereka tidak setimpal.

“Saya kecewa dengan prestasi dan pencapaian pasukan musim ini. Jadi, untuk tidak lebih sakit jiwa, saya lepaskan semua mereka dan akan mencari pemain serta ketua jurulatih baru bagi menggalas cabaran musim depan.

“Mungkin kita akan gunakan ramai pemain muda tempatan selain mengenal pasti pemain import berwibawa untuk menguatkan pasukan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 9:13 AM