TUANKU Muhriz diiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan trofi kepada wakil pasukan Port Dickson.
TUANKU Muhriz diiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan trofi kepada wakil pasukan Port Dickson.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Kejohanan Bola Sepak Piala Tuanku Muhriz 2017 yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan bakal membuka tirainya dengan perlawanan pembukaan membabitkan pasukan Kumpulan A dan B di tiga venue berasingan, esok.

Penyelaras kejohanan Nik Shazly Anuar berkata, Kumpulan A dianggotai juara bertahan Port Dickson, Kuala Pilah, Jempol dan Rembau manakala Kumpulan B dihuni Seremban, Jelebu dan Tampin.

Katanya, Port Dickson akan menentang Kuala Pilah di Padang Merdeka Port Dickson manakala Jempol bertemu Rembau di Stadium Mini Bahau sambil Seremban dijadualkan menentang Jelebu di Padang Majlis Perbandaran Seremban. Semua perlawanan bermula jam 4.45 petang.

“Kejohanan anjuran PBNS (Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan) ini diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Ke-69 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Saya menjangkakan kejohanan tahun ini lebih sengit berpandukan persiapan setiap pasukan yang menampilkan ramai pemain muda berbakat selain latihan intensif yang giat dijalankan pasukan masing-masing.

“Malah, tawaran hadiah wang tunai dijangka menjadi pembakar semangat buat setiap pasukan untuk memperagakan aksi mantap bagi memburu kemenangan,” katanya.

Menurutnya, Port Dickson yang turun selaku juara bertahan sudah pasti akan berusaha mempertahankan kejuaraan namun mereka tidak akan berdepan tugas mudah kerana Seremban (naib juara tahun lalu) dan Rembau antara pasukan berpengalaman yang boleh menyekat impian mereka.

“Apapun kejohanan ini bukan sekadar memeriahkan sambutan hari keputeraan baginda Tuanku tapi landasan mencungkil bakat baru dan mengetengahkan pemain untuk kemajuan bola sepak negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:14 AM