TUANKU Muhriz (dua dari kanan) menyampaikan trofi kejohanan kepada ketua pasukan Kuala Pilah.
TUANKU Muhriz (dua dari kanan) menyampaikan trofi kejohanan kepada ketua pasukan Kuala Pilah.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Pasukan bola sepak daerah Kuala Pilah memperagakan aksi mantap apabila menang bergaya ke atas Rembau 4-1, sekali gus dinobat selaku juara Piala Tuanku Muhriz di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, baru-baru ini.

Kejohanan anjuran Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) itu disertai setiap daerah yang turut membabitkan Port Dickson, Jempol, Seremban, Jelebu dan Tampin.

Penyelaras kejohanan Nik Shazly Anuar berkata, kejohanan itu diadakan setiap tahun sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang disambut pada 14 Januari.

“Kejohanan ini juga sebahagian daripada landasan PBNS mencungkil bakat baru dan mengetengahkan pemain berwibawa untuk kemajuan bola sepak negeri.

“Usaha ini dilihat berhasil apabila Kuala Pilah yang menampilkan pemain muda dari Sekolah Sukan Za’ba berjaya mendominasi final dengan mengetepikan Rembau yang lebih berpengalaman dan dibarisi pemain senior,” katanya.

Kejohanan dijalankan secara liga dan menawarkan hadiah wang tunai, piala pusingan dan pingat.

Tuanku Muhriz berkenan hadir menyaksikan perlawanan akhir itu dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut berangkat Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 9:15 AM