MOHAMAD (dua dari kiri) menyampaikan piala pusingan kepada pemain MDJ.
MOHAMAD (dua dari kiri) menyampaikan piala pusingan kepada pemain MDJ.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Jaringan tunggal pada minit terakhir babak pertama oleh Yosri Derma Raju berjaya menjulang Majlis Daerah Jempol (MDJ) menewaskan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) 1-0 untuk menjuarai kejohanan bola sepak Piala Menteri Besar 2017 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, baru-baru ini.

Kelincahan Yosri yang membawa bola dari kawasan tengah dan seterusnya memperdayakan dua pertahanan lawan membolehkan dia meledak gol tunggal untuk menjulang kemenangan.

Susulan kemenangan itu, MDJ membawa pulang piala pusingan, piala iringan, pingat dan wang tunai RM15,000 manakala SAINS meraih RM10,000 serta pingat.

MDJ turut meraih kejayaan berganda apabila Yosri dinobat pemain terbaik perlawanan akhir manakala Muhammad Hakimie Abdul Latif dari Majlis Perbandaran Seremban (MPS) muncul penjaring terbanyak liga dengan 10 gol.

Kejohanan tahunan anjuran Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) itu sebahagian daripada program mencungkil bakat baru selain menyemarakkan lagi aktiviti sukan bola sepak di seluruh negeri yang disertai 30 pasukan.

Menteri Besar yang juga Presidan PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan turut hadir menyaksikan perlawanan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Hadir sama, Naib Presiden PBNS Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Kehormat PBNS, Datuk Abdul Halim Abdul Latif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 9:28 AM