PEMAIN dan pegawai pasukan Style United meraikan kejayaan muncul juara.
PEMAIN dan pegawai pasukan Style United meraikan kejayaan muncul juara.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Sepakan penalti menjadi penentu kejayaan Style United menewaskan Tanah Putih Baru (TPB) FC 5-4 sekali gus muncul juara Liga Divisyen 2 serta menjulang Piala Presiden Persatuan Bolasepak Daerah Kuantan (PBDK) di Stadium Darul Makmur, baru-baru ini.

Selepas terikat 1-1 pada masa sebenar tuah ternyata berpihak kepada anak buah jurulatih Nor Yazeed Hamzah yang berjaya menyempurnakan peluang terhidang walaupun satu ketika mereka tertekan apabila lawan dilihat lebih menyerlah.

Juara membawa pulang hadiah RM3,000 manakala naib juara meraih RM1,500. Pasukan PERIMA Super B dan BUJ yang layak ke separuh akhir masing-masing menerima RM500.

Hadiah disampaikan Presiden PBDK, Zaliza Zulkipli. Turut hadir Setiausaha PBDK, Ahmad Muda.

Nor Yazeed berkata, gandingan pemain muda dan senior berpengalaman memberi kelebihan kepada Style United menyerlah pada saingan kejohanan kali pertama disertai itu.

Katanya, kehadiran lapan pemain futsal negeri yang sebelum ini beraksi di kejohanan liga futsal kebangsaan turut menjadi penyumbang kepada prestasi membanggakan pasukan itu.

“Kejayaan ini diharap menjadi landasan kepada pemain untuk terus menyerlah dalam beberapa kejohanan peringkat negeri seterusnya saingan Divisyen 1 musim depan yang dijangka lebih mencabar.

“Saya tidak menyangka percubaan pertama musim ini berakhir dengan kejayaan membanggakan, impian dan janji pemain sebelum kejohanan berjaya dibuktikan walaupun tidak banyak diberikan harapan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata sebanyak 20 pasukan bersaing dalam Liga Divisyen 2 dan johan serta naib johan akan melangkah ke divisyen 1 musim depan membabitkan 12 pasukan. Pasukan itu juga akan bersaing merebut Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 7:36 AM