KAHE disambut  penyokong Helang Merah sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas.
KAHE disambut penyokong Helang Merah sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas.
Oleh Bashah Zainol Abidin

Alor Setar: Pengurus pasukan Kedah Datuk Jeffry Low Hang Chow mencabar penyerang baru Carlos Kahe dari Brazil supaya membuktikan pemilihannya untuk berada dalam skuad Helang Merah, tepat.

Menurutnya, Kahe dipilih selepas menyaksikan video permainannya selain pembabitannya bersama skuad Bawah 20 Brazil serta sokongan kuat rakan sepasukan Sandro da Silva serta bekas pemain Kedah pada akhir 1990-an Carlos Roberio.

“Kahe bukan penyerang yang ditangkap muat tanpa membuat banyak penyelidikan mengenai dirinya. Saya dan juga pegawai pasukan Kedah sudah melakukan penyelidikan mengenainya sejak dari tahun lalu. Selepas berpuas hati dengannya baru kami mengambil keputusan mendapatkan khidmatnya.

“Sandro yang pernah beraksi bersama Kahe di Liga Turki turut menyokong kami mendapatkan khidmatnya,” kata Jeffri.

Pemain berusia 33 tahun itu pernah beraksi bersama kelab Borussia Monchengladbach di Liga Jerman dan terakhir, Liga Brazil sebelum dipikat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

“Roberio bekas pemain Kedah yang ikhlas membantu mendapatkan penyerang terbaik bagi menggantikan Chidi Edeh turut menyokong Kahe sebagai penyerang yang mampu menyelesaikan masalah bahagian serangan,” kata Jeffry.

Katanya, Roberio juga membawa Sandro musim lalu untuk beraksi bersama Kedah dan pemain yang berasal dari Brazil itu sudah membuktikan kewibawaannya dengan memastikan mereka menjuarai Liga Perdana musim lalu serta melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2015.

“Saya yakin Kahe mampu menyelesaikan masalah jentera serangan dengan ketinggian dan bentuk badannya yang tegap.

“Dia juga sudah membuktikan keupayaannya ketika beraksi Liga Turki dan juga Liga Jerman. Kini dia hanya perlu memastikan mampu mengatasi 18 gol dijaringkan Sandro sebagai pemain tengah Kedah musim lalu,” kata Jeffry.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 6:00 AM