Oleh Bashah Zainol Abidin

Alor Setar: “Kejayaan menjaringkan tiga gol untuk menjulang piala Liga Perdana adalah saat manis dalam karier saya sebagai pemain profesional dan tidak menjangka dapat merasai kejayaan ini hanya setelah bersama pasukan Kedah sejak April lalu,” kata penjaring hatrik Sandro Da Silva ketika Kedah membelasah DRB Hicon 5-1.

Menurutnya, dia pernah mendengar cerita kehebatan Kedah melalui bekas pemain 90an, Carlos Roberio tetapi setelah bersama mereka sejak empat bulan lalu, dia tidak menyesal memilih untuk menyarung jersi Hijau Kuning tahun ini.

“Saya pernah beraksi dalam Liga Korea Selatan tetapi gagal menyerlah di sana... tetapi dengan Kedah bukan sahaja saya dapat mempamerkan aksi sebenar malah menjualang gelaran pula.

“Tiga gol ke atas DRB Hicom itu tidak akan terhasil tanpa kerjasama semua rakan sepasukan. Malah saya hadiahkan gol ini kepada isteri dan anak serta ribuan penyokong setia Kedah yang memberi sokongan dari awal liga sehingga ke perlawanan terakhir.

“Tanpa penyokong memenuhi ruang stadium, permainan bola sepak pasti membosankan,”kata Da Silva.

Katanya, dia juga tidak akan lupa jasa Roberio yang memperkenalkannya kepada pengurusan Kedah.

“Apapun saya memuji rakan import Bang Seung Hwan, Chidi Edeh dan Liridon Krasniqi yang turut membantu meningkatkan kualiti persembahan bersama-sama pemain tempatan. Beraksi bersama mereka satu penghormatan besar.

“Tumpuan kini adalah menghadapi saingan Piala Malaysia dan saya berazam untuk meneruskan persembahan mantap berdepan pasukan-pasukan lebih hebat Liga Super,” kata Sandro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:51 AM