SANDRO Da Silva. FOTO arkib NSTP
SANDRO Da Silva. FOTO arkib NSTP
Izzali Ismail


ALOR SETAR: Peluang pemain import Kedah sejak musim 2015, Sandro Da Silva kembali ke Liga Malaysia (Liga M) musim 2019 dilihat cerah apabila namanya dikaitkan dengan dua pasukan Liga Super untuk musim depan.

Menurut sumber, Sandro yang kini bercuti di Brazil diintai Melaka United (MU) dan FELDA United yang dilihat menunjukkan minat ke atas penyerang yang memiliki kepakaran sepakan percuma itu.

‘Saham’ Sandro tetap melonjak berdasarkan reputasi hebat yang dipamerkannya selama empat musim bersama Kedah, dengan meraih beberapa kejayaan seperti Piala Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala FA sejak 2015.

Selain itu, katanya Sandro juga adalah antara pemain yang sering menunjukkan komitmen dan tahap disiplin yang tinggi serta mudah mesra bersama pemain tempatan.

"Jadi tidak hairanlah dia sentiasa diintai pasukan tempatan dan luar negara. Saya yakin Sandro dapat membuat pilihan yang tepat untuk musim baharu nanti.

"Kedua-dua pasukan itu telah menunjukkan peningkatan yang baik dalam Liga M musim ini dan pastinya mahu mendapatkan pemain berpengalaman dan berkualiti,” kata sumber.

Katanya, memang ada risikan ke atas Sandro terutama selepas tersebar berita khidmatnya tidak lagi disambung Kedah, namun setakat ini masih belum ada pengumuman yang dikeluarkan berkaitan tawaran.

Sebelum namanya digugurkan daripada skuad Kedah, Sandro pernah menegaskan dia mahu beraksi semusim lagi di Liga M jika mendapat peluang.

Namun hasratnya untuk kekal di Kedah berkecai apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan tidak memperbaharui kontrak beliau bersama empat lagi pemain importnya untuk musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 6:43 PM