KAHE (kiri) gagal pamer prestasi diharapkan pengurusan.
KAHE (kiri) gagal pamer prestasi diharapkan pengurusan.
Rodly Fadly

Kuala Lumpur: “Jika hendak rombak , kena rombak semua, bukan setakat tukar pemain import.”

Demikian pandangan Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Kedah (KEPDA) Nor Asmadi Hamzah mengenai ura-ura pasukan itu untuk mendapatkan pemain import baharu apabila jendela perpindahan dibuka pertengahan bulan depan.

Ia ekoran prestasi tidak konsisten penyerang import dari Brazil Carlos Kahe serta kecederaan yang membelenggu rakan senegaranya Sandro da Silva hingga menyebabkan Helang Merah kini hanya mampu menduduki tangga kelima Liga Super.

“Saya ada dengar ura-ura Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mahu menukar pemain import terutamanya Kahe. Memang saya setuju pemain itu tidak menyerlah seperti diharapkan tapi bagi saya masalah pasukan Kedah bukan Kahe semata-mata tapi seluruh pasukan.

“Apa yang saya nampak Kedah terlalu bergantung pada kesebelasan utama dan tidak mempunyai pemain simpanan yang berkemampuan. Oleh itu, apabila pemain utama cedera atau digantung permainan, pasukan itu sudah tempang.

“Buktinya dapat dilihat pada separuh akhir kedua Piala FA menentang Johor DT bila beberapa pemain utama seperti Liridon (Krisniqi), Sandro, Khairul Helmi dan Amirul (Hisyam Awang Kechik) tidak dapat diturunkan, Kedah terus tidak mampu memberi saingan dan tewas 1-3.

“Ini berbeza dengan pasukan Johor DT yang memiliki 25 pemain terbaik dan boleh diturunkan sebagai pemain gantian bila-bila masa. Memang benar, tidak mungkin kami mendapat kualiti seperti mereka kerana semua pemain terbaik negara berkumpul di situ tapi apa yang saya maksudkan, Kedah sepatutnya mempunyai 22 pemain yang sama kualiti dengan pemain utama.

“Satu pembaziran jika Kedah mempunyai pemain simpanan yang sekadar mencukupkan kuota sedangkan mereka dibayar dengan gaji yang tinggi, difahamkan antara RM10,000 hingga RM15,000 seorang.

“Apa yang saya perhatikan ada pemain yang langsung tidak pernah diturunkan dan hanya memanaskan bangku pemain simpanan. Ada antara enam atau tujuh pemain yang tidak bermain walaupun dalam satu perlawanan pun sejak musim lalu.

“Saya tidak pasti adakah mereka benar-benar tidak berkualiti atau jurulatih (Tan Cheng Hoe) tidak berani memberi mereka peluang bermain.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 8:55 AM