Oleh Bashah Zainol Abidin

Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe (gambar) mahu penyerang baru Carlos Kahe berasal dari Brazil segera melaporkan diri bagi menjalani latihan seawal mungkin dan bukan pada 15 Januari.

Menurutnya, barisan pemain Kedah akan memulakan latihan esok dan beliau menjangkakan kesemua pemainnya termasuk import dapat melaporkan diri selewat-lewatnya 4 Januari.

“Kami tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih kerana Liga Super dijangkakan bermula pada 13 Februari depan. Kami juga akan berdepan beberapa perlawanan ujian sebelum Liga Super bermula.

“Kini sudah tiba masanya untuk memulakan latihan secara serius bagi memastikan kami berada dalam keadaan terbaik,” kata Cheng Hoe.

Beliau berkata, pengurus pasukan Kedah Datuk Jeffry Low Han Chow memberitahunya Kahe sepatutnya tiba di Alor Setar pada 15 Januari.

“Tapi saya hanya mempunyai masa sebulan untuk menyiapkan pasukan. Jadi, saya mahu Kahe melaporkan diri secepat mungkin.

“Hanya pada sesi latihan baru saya dapat mengetahui keupayaannya yang dikhabarkan pernah beraksi di Turki beberapa tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 7:45 AM