SAODAH (kiri) bersama pemain pasukan GBFC A yang akan mewakili negara ke Kejohanan Dunia F5WC Mac depan.
SAODAH (kiri) bersama pemain pasukan GBFC A yang akan mewakili negara ke Kejohanan Dunia F5WC Mac depan.
Oleh Shamzsul Anuar Johan

Shah Alam: Pasukan Game Breakers Futsal Club A (GBFC A) akan membawa cabaran negara ke Grand Final Football Fives World Championship (F5WC) di Bangkok, Thailand, Mac tahun depan.

Kejayaan itu susulan penguasaan mereka menewaskan Court Soccer pada perlawanan akhir F5WC saingan kebangsaan di Pusat Sukan UiTM Shah Alam, baru-baru ini.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM5,500, piala, pingat serta perbelanjaan ditanggung sepenuhnya ke Bangkok.

Pasukan itu mara ke final selepas mengecewakan SAF FC 1-0 di separuh akhir, manakala Court Soccer mengatasi ABSA Malinja 2-1.

Uniknya GBFC A yang ditubuhkan pada 2010 diuruskan pengurus wanita, Saodah Bakar, 48.

Menurut beliau, kejayaan pasukan hasil kerja keras pemain sepanjang latihan sebelum kejohanan bermula.

“Saya bangga dengan kejayaan ini. Pemain sudah melakukan yang terbaik dan berhak menjadi juara. Saya hanya memberi motivasi serta bimbingan, selebihnya adalah usaha keras mereka,” katanya.

Mengenai persiapan ke Bangkok, Saodah berkata, pasukannya kini sedang giat menjalani latihan intensif.

“Harapan kami adalah untuk mengharumkan nama Malaysia di sana, selain memartabatkan sukan futsal di peringkat lebih tinggi.

“Kami juga akan mengadakan beberapa aksi persahabatan bersama pasukan dari Lembah Klang. Selain itu, saya akan mencari jurulatih lebih berpengalaman dalam menyiapkan pemain daripada segi fizikal dan mental,” katanya.

Pada kejohanan sama sebelum ini di Dubai, Malaysia diwakili pasukan TOT United.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:06 AM