KERWIN (dua dari kiri) bersama juara kategori B-12 dan 16 tahun di di Zaba Samura Sports Planet, Cheng, Melaka.
KERWIN (dua dari kiri) bersama juara kategori B-12 dan 16 tahun di di Zaba Samura Sports Planet, Cheng, Melaka.
Oleh Mohd Badlishah Mohd Ali

Melaka: Wakil Johor, Impro FC dan Court Soccer dari Kuala Lumpur menguasai kategori bawah 16 tahun (B-16) apabila bertarung di final Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2015 di Zaba Samura Sports Planet, Cheng, Melaka, baru-baru ini.

Jaringan Wan Muhammad Naqib Wan Abd Malik dan Ahmad Amirul Arsyad Kamrulzaman masih belum mampu mengangkat skuad Court Soccer kendalian Hasan Kasim untuk muncul juara selepas diikat Impro FC 2-2.

Ternyata tuah milik pasukan Impro FC apabila menang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Sedikit kelegaan buat skuad Court Soccer apabila Azril Hafiz Mohd dianugerahkan penjaga gol terbaik perlawanan akhir.

Sebelum itu pada aksi separuh akhir, Court Soccer mengalahkan Legasi Arena dari Melaka 3-0, manakala Impro FC terpaksa bermandi peluh sebelum menang tipis 1-0 ke atas Skykick dari Muar.

Impro FC dan Court Soccer akan membawa cabaran Melaka beraksi pada Grand Final di Ampang Sports Planet pada 6 Disember.

Hasan berkata, dia tidak kecewa walaupun gagal menjuarai peringkat negeri, malah gembira layak ke Grand Final.

“Kegagalan menerusi percubaan siri pertama di Ampang Sports Planet tidak mematahkan semangat kami, malah menjadi tonik kekuatan untuk muncul antara pasukan terbaik di sini.

“Percubaan kali kedua di Melaka membolehkan kami ke Grand Final, sekali gus mengulangi pencapaian 2011 apabila muncul juara di Grand Final tahun sama.

“Kami dapat rasakan situasi sama akan berlaku tahun ini,” katanya.

Kategori bawah 12 tahun (B-12) pula menyaksikan keunggulan juara pasukan Johor Bahru, Stylo Mylo Junior selepas mengalahkan Pemuda Selayang Permai (PSP) FC dari Selangor 1-0 pada aksi final.

Pada separuh akhir PSP FC memadam impian Stylo Mylo C 1-0, manakala Stylo Mylo Junior membenam cabaran Harimau Nusa 5-4.

Stylo Mylo Junior dan PSP FC turut layak beraksi di Grand Final mewakili Melaka.

Juara Grand Final bakal membawa pulang RM15,000, trofi, pingat dan barangan Milo-Figos, manakala naib juara menerima RM10,000. Tempat ketiga/keempat masing-masing menerima RM 7,000. Pasukan layak ke suku akhir turut meraih RM2,000.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Eksekutif Pemasaran Sukan Nestle Products Sdn Bhd, Kerwin Lim.

Siri ketiga program akan berlangsung di Sports Planet Kuching pada 12 September diikuti D’Futsal Centre, Kepala Batas, 16 September.

Borang penyertaan boleh diperoleh di semua 14 venue atau layari www.milo.com.my atau facebook.com/MILOHidupBola. Maklumat lanjut, hubungi Nik Muhd Radzi 019-3519934 dan Zack 019-9444334.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 10:25 AM