NIK Yusaimi Yussof pada sidang media Ops Cetak 1.0 Banteras Pelbagai Penerbitan Jelik di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NIK Yusaimi Yussof pada sidang media Ops Cetak 1.0 Banteras Pelbagai Penerbitan Jelik di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggagalkan kegiatan penerbitan jelik, penjualan pakaian, alat permainan dan aksesori seks dianggarkan berjumlah RM1.2 juta menerusi Ops Cetak yang dijalankan antara 1 hingga 14 Jun lalu.

Operasi dijalankan di beberapa premis di Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kedah.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK KDN) Nik Yusaimi Yusoff berkata, sebanyak 1,759 premis diperiksa diperiksa dan 119 kertas siasatan dibuka membabitkan 19,924 pelbagai jenis hasil penerbitan yang disita.

Katanya, seramai 50 individu membabitkan 47 lelaki dan tiga wanita serta seorang warga asing berusia antara 20 hingga 90 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"KDN juga mengambil tindakan terhadap dua premis mencetak haram di Seri Kembangan dan Klang, Selangor serta menjumpai plat cetakan komik seks di sebuah premis di Seri Kembangan," katanya pada sidang media di KDN, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi ini, KDN turut menyita mesin cetak di tiga premis haram berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM600,000 serta menahan tiga lelaki tempatan untuk siasatan.

"Turut disita 15,602 unit alat mainan seks di beberapa premis di Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Kedah dengan jumlah sitaan RM540,000.

"Tujuh warga tempatan membabitkan lima lelaki dan dua wanita yang juga pemilik premis dan penjual ditahan," katanya.

Nik Yusaimi berkata, dalam ops ini juga, seorang individu di Teluk Panglima Garang, Banting ditahan kali kedua kerana menjual alat mainan seks dan pernah dikenakan denda RM5,000.

Katanya, individu yang terbabit aktiviti ini boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

"KDN akan mengadakan pemantauan dan pemeriksaan penjualan barangan tidak bermoral ini di premis jualan termasuk di laman media sosial kerana ia boleh memudaratkan moral dan ketenteraman awam, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 1:12 PM