Mohd Badlishah Mohd Ali

Klang: Liga Futsal Remaja Selangor 2017 meriah dan padat dengan aksi bertenaga yang berlangsung di dua lokasi Extreme Park Shah Alam dan RSA Klang membabitkan empat kategori iaitu B-13, B-14, B-15 dan B-16.

Sebanyak 46 pasukan keseluruhan mengambil bahagian. Saingan peringkat kumpulan bermula sejak awal April lalu hingga ke kemuncaknya bulan lalu.

Aksi peringkat kumpulan, suku akhir dan separuh akhir berlangsung di gelanggang Extreme Park Shah Alam manakala final di RSA Klang.

Aksi final kategori B-15 menyaksikan pertembungan dua pasukan terbaik Lembah Klang iaitu Court Soccer menentang Eleven Red Eagles menjadi tumpuan penonton dengan kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menyerang.

Skuad Eleven Red Eagles dibarisi pemain Sekolah Sukan Negeri Selangor terlebih dahulu menguji kubu Court Soccer dengan serangan bertubi-tubi namun gagal menghasilkan jaringan. Sebaliknya Court Soccer mencuri tumpuan dengan serangan balas pantas berjaya menghasilkan gol pertama.

Bersambung babak kedua Eleven Red Eagles agak tertekan mencari gol penyamaan. Mereka menguasai permainan dan melancar serangan bahaya namun hampa. Pujian harus diberikan kepada pertahanan Court Soccer kerana mematahkan percubaan bahaya lawan.

Pada minit terakhir satu rembatan padu jarak jauh ketua pasukan Court Soccer gagal ditepis keluar penjaga gol lawan menjadikan kedudukan 2-0 seterusnya memadam impian pasukan Eleven Red Eagles untuk bergelar juara.

Pengendali Court Soccer, Hasan Kasim berkata, beliau dari awal mengarahkan pemain untuk mengekalkan rentak bermain secara taktikal dan corak serangan pantas terbukti berkesan.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pemain kerana berjaya mengikut perancangan dan saya rasakan aksi final kali ini antara yang terbaik, tahniah juga kepada pemain Eleven Red Eagles kerana mempamer aksi bertenaga,” katanya.

Sebelum itu, kategori B-13 diungguli Putra MB Kids selepas mengalahkan 9 Lions 6-0 manakala kategori B-14 juara milik SMK Seksyen 18 selepas menewaskan Putra MB 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Darul Naim turut mengukir nama selaku juara kategori B-16 selepas membenam cabaran Charo FT 7-2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 11:56 AM