SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan pecah rumah dan mencabul kehormatan jirannya.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan pecah rumah dan mencabul kehormatan jirannya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu melakukan pecah rumah dan mencabul kehormatan seorang wanita yang juga jirannya, 29 Jun lalu.

Tertuduh, Mohd Fadhli Mukhtar, 52, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pecah rumah untuk menyerang seorang wanita berusia 27 tahun secara seksual.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 455 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan boleh didenda atau disebat.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa yang sama.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara sehingga 10 atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Salor, di sini, jam 7 pagi, pada 29 Jun 2024.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu serius. Tertuduh merayu supaya mahkamah membenarkan jaminan terhadapnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat lelaki itu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan.

Mahkamah juga menetapkan 4 Ogos depan sebagai sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 1:11 PM