PASUKAN MILO Malaysia bersama pegawai, jurulatih ceria muncul juara di Bangkok.
PASUKAN MILO Malaysia bersama pegawai, jurulatih ceria muncul juara di Bangkok.
Mohd Badlishah Mohd Ali


Kuala Lumpur: Skuad MILO Malaysia diwakili 12 pemain terbaik selepas Grand Final Karnival Futsal MILO Hidup Bola membuktikan mereka berada di kelas tersendiri apabila mengharumkan nama negara selepas mengungguli Kejohanan Futsal Empat Penjuru di Arena Futsal Fashion Island, Bangkok, baru-baru ini.

Empat pasukan bertanding pada kejohanan selama tiga hari itu termasuk Chonburi FC, Bangkok FC dan Nonthaburi.

Skuad MILO Malaysia berpesta gol apabila membenam cabaran Bangkok FC 12-0, seri 1-1 dengan Nonthaburi dan menumpaskan Chonburi FC 3-1 pada aksi terakhir seterusnya dinobat juara kejohanan itu.

MILO Malaysia kendalian jurulatih futsal negara Chiew Chun Yong berada di Bangkok bagi menyertai kejohanan futsal jemputan itu buat kali ketiga berturut-turut.

Sebelum itu MILO Malaysia turut diberi peluang berlatih bersama pasukan futsal handalan dari Thailand seperti Chonburi FC.

Chun Yong berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen tinggi yang dipamerkan semua pelatih dan membuktikan pemain remaja negara mampu bersaing dengan pemain kelab dari Thailand.

“Sebenarnya kekuatan dan kemahiran futsal pemain kita dengan Thailand tidak jauh bezanya. Pemain kita juga mempunyai kepantasan, kawalan bola baik, kemahiran individu serta idea bernas.

“Paling saya teruja kita dapat menewaskan pasukan terkuat di Thailand seperti Chonburi FC. Kejayaan itu memberi satu penanda aras kita setanding dengan mereka (Thailand).”

Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Product, Ng Ping Loong berkata, pihaknya teruja dengan kejayaan mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.

“Saya yakin dengan kebolehan pemain kita berdasarkan pengalaman menyaksikan latihan mereka dan ketika mewakili pasukan masing-masing pada saingan Karnival Futsal MILO Hidup Bola 2016.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pemain, jurulatih dan semua yang terbabit menjayakan program MILO serta ibu bapa yang memberi sokongan yang tidak berbelah bagi,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 10:34 AM